Bekas pengurus kanan syarikat perdagangan antarabangsa (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang bekas pengurus kanan syarikat perdagangan antarabangsa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap 13 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM500,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Foo Tseh Wan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Berdasarkan semua pertuduhan, Foo dituduh melakukan pengubahan wang haram membabitkan tiga bank di sekitar bandar ini antara 6 Februari 2015 hingga 2 Jun tahun sama dengan menerima wang itu diperoleh hasil aktiviti haram.

Tertuduh didakwa melakukan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah wang berbeza daripada Syarikat Advanced System Polymer Sdn Bhd menerusi tiga bank berbeza.

Semua urusan di bank berkenaan membabitkan nilai antara RM4,000 hingga

250,000 yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, boleh disabitkan penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Mahadi Abd Jumaat, manakala tertuduh diwakili peguam bela Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Elina Rashid.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac ini, manakala tarikh bicara bersama untuk 115 pertuduhan lain dihadapi tertuduh sama pada 22 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 12:32 PM