KEADAAN di sebuah penjara di Brazil. Kesesakan dikatakan antara punca keganasan meletus di penjara di negara itu. - AP
AFP

Rio de Janeiro: Sekurang-kurangnya tiga lagi banduan dibunuh dengan kejam dan dipenggal di sebuah penjara di timur laut Brazil, beberapa hari selepas lebih 100 tahanan mati di beberapa penjara negara itu akibat pergaduhan antara kumpulan penjenayah.

Keganasan terbaru berlaku di penjara Alcacuz, pusat tahanan terbesar di negeri Rio Grande do Norte apabila anggota satu kumpulan menyerang satu kumpulan lain.

“Sekurang-kurangnya tiga banduan mati kerana kami dapat melihat kepala mereka yang sudah dipenggal,” kata pengarah penjara Zemilton Silva kepada media tempatan.

Beberapa media lain berkata, 10 orang mungkin terbunuh.

Penjara itu yang terletak di pinggir Natal, ibu negeri Rio Grande do Norte dibina untuk menempatkan 620 orang. Bagaimanapun, kira-kira 1,100 banduan ditahan di situ.

Meskipun kesesakan dianggap sebagai masalah sebenar, namun banyak lagi faktor yang menyebabkan keganasan meletus di penjara di Brazil.

Pakar berkata, sebahagiannya berpunca daripada sengketa antara kumpulan dadah terancang di negara itu, pasaran kokain paling penting di dunia.

Minggu lalu, beberapa pembunuhan menyebabkan lebih 100 banduan mati, kebanyakannya anggota kumpulan dadah.

Sasaran utama keganasan ialah anggota kumpulan dadah terbesar Brazil, First Capital Command (PCC).

Dengan kira-kira 20,000 anggota, PCC masih berkembang walaupun ketuanya, Marcos Williams Herbas Camacho yang lebih dikenali sebagai Marcola dipenjarakan sejak 1999.

Menurut penyiasat, selain menyeludup dadah, kumpulan itu memiliki syarikat bas, kelab bola sepak mini dan pusat penapisan minyak haram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 8:53 AM