Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Lagi kes individu panjat mercu tanda 'IPOH' dikesan, namun kali ini di binaan di tepi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Simpang Pulai pula.

Gambar tindakan lelaki berkenaan dimuat naik dalam Instagram individu menggunakan nama 'kerabupauh' dengan kapsyen "IPOH geli-geli... boleh laa," mula tular di laman sosial hari ini.

Binaan mercu tanda itu adalah sama seperti yang dipanjat sekumpulan pendaki di Jalan Kuala Kangsar, di sini baru-baru ini, namun kedudukannya lebih rendah iaitu kira-kira 30 meter di lereng bukit berhampiran lebuh raya berkenaan.

Gambar dimuat naik itu menunjukkan lelaki terbabit berdiri di atas mercu tanda berkenaan, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia bertindak bersendirian atau berkumpulan.

Bagaimanapun, semakan mendapati individu berkenaan sudah menukar nama di Instagramnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pihaknya belum menerima maklumat lengkap berkaitan perkara itu.

Pada 31 Disember lalu, sekumpulan lapan individu membabitkan lima lelaki dan tiga wanita bertindak memanjat mercu tanda IPOH di Jalan Kuala Kangsar dan tindakan seorang daripada ahli kumpulan terbabit memuat naik gambar dan video aktiviti mereka memanjat binaan itu termasuk mengantung buaian mula tersebar di laman sosial dan dikecam ramai.

Kumpulan terbabit kemudiannya diburu polis selepas pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat laporan mengenainya sebelum mereka menyerah diri pada 2 Januari lalu untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Sejsyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 10:09 PM