PATI yang diselamatkan PPM. FOTO ihsan PPM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) nyaris lemas selepas bot dinaiki terbalik ketika melarikan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Punggai, Sungai Rengit di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, tiga lelaki Bangladesh, enam wanita dan 31 lelaki Indonesia berusia 20 hingga 50 tahun berada di bot itu.

Katanya, bot itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan oleh anggotanya ketika menjalankan operasi sebelum mendekatinya pada 9.30 malam.

"Bot berkenaan memecut laju untuk melarikan diri sebaik menyedari pihak berkuasa.

"Anggota PPM mengejar bot itu kira-kira 20 minit sebelum terbalik dipukul ombak besar menyebabkan semua penumpang jatuh ke laut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, dua lagi bot PPM ke lokasi kejadian kira-kira satu batu nautika dari pantai Punggai untuk menyelamatkan mangsa yang terapung sebelum dibawa ke Balai Polis Pengerang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Immigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan hasil siasatan awal, semua mangsa selamat dan tiada mangsa yang hilang dalam kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 4:58 PM