ISMAIL bersama basikal yang dimenangi.

Kuala Kubu Bharu: Rezeki terpijak menjadi milik pelumba veteran, Ismail Badol, 58, yang berjaya membawa pulang basikal jenama Lapierre bernilai RM3,500 sumbangan Jiwa Basikal Bukit Beruntung dalam acara cabutan bertuah pada sirkit Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu, kelmarin.

Paling menggembirakan pelumba dari Melaka itu sebaik saja tiba di garisan penamat jam 3.10 petang nombor beliau diumumkan sebagai pemenang acara itu.

Beliau berkata, kegembiraan berganda buatnya yang menjadi pelumba terakhir menamatkan saingan sirkit itu, namun mampu membawa pulang basikal baru.

Katanya, beliau terpaksa membaiki basikalnya itu apabila mengalami putus rantai di kilometer 26 saingan sejauh 38 km itu.

Menurutnya, seorang juruteknik dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu menyambung rantai basikalnya di lokasi kejadian sebelum mengayuh menamatkan cabaran getir itu.

“Ini rezeki cukup manis selepas menyertai lima sirkit Harian Metro. Hadiah ini paling bermakna dalam hidup saya yang menjadikan hobi berkayuh sejak lima tahun lalu.

“Saya bagai tidak percaya apabila nombor 1620 dipanggil menang cabutan bertuah cukup bermakna itu. Hadiah ini menjadi kenangan berharga,” katanya.

Beliau juga nekad meneruskan saingan sama di sirkit tahun depan dengan menggunakan basikal hadiah cabutan bertuah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:07 AM