Kuala Lumpur: UMW Oil & Gas Corp Bhd (UMW-OG) memperoleh kontrak daripada PetroVietnam Drilling & Well Services Corp (PVD) untuk pelanggannya, Korea National Oil Corp (KNOC), bernilai AS$18.7 juta (RM56.1 juta).

Presiden UMW-OG, Rohaizad Darus berkata, kontrak itu meliputi peruntukan perkhidmatan pelantar penggerudian bagi ‘Kempen Penggerudian KNOC’ di Blok 11-2, yang terletak 320 kilometer di luar pesisir Vietnam.

“Kontrak ini untuk dua telaga dan UMW NAGA 5 dijangka digerakkan serta memulakan operasi pada Jun 2015 untuk selama kira-kira 100 hari,” katanya.

Pelantar penggerudian terapung UMW-OG, UMW NAGA 5 akan dioperasikan untuk kontrak ini selepas penyelesaian kontrak semasa dengan PTTEP International Ltd di Myanmar. Sebelum ini, UMW NAGA 5 menyelesaikan satu lagi kontrak di Filipina bagi Nido Petroleum Ltd. Kontrak baru di Vietnam itu adalah negara ketiga yang ditembusi UMW NAGA 5, selari dengan tumpuan UMW-OG bagi meluaskan liputan pasaran antarabangsanya.

Beliau berkata, kelulusan kontrak itu bukan sahaja memperkukuh pasaran syarikat di Vietnam, malah membuktikan keupayaan syarikat untuk memperoleh kontrak semasa tempoh yang mencabar ini.

KNOC ialah operator tunggal dan melaksanakan aktiviti eksplorasi, pembangunan dan pengeluaran di Blok 11-2 dan menguasai 75 peratus kepentingan penyertaan dalam blok ini. Penyertaan ini adalah bagi pihak KNOC dan Konsortium yang terdiri daripada LG International Corp, Daesung Industrial Com, Daewoo International Corp, Hyundai Corp, Samwhan Corp dan Seoul City Gas Co Ltd PetroVietnam Exploration and Production Company turut menguasai 25 peratus kepentingan penyertaan dalam Blok 11-2.

UMW-OG ialah syarikat penyedia multinasional yang berpangkalan di Malaysia dalam perkhidmatan penggerudian dan medan minyak bagi sektor industri minyak dan gas huluan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:06 AM