LUKISAN Van Gogh bertajuk Starry Night yang menjadi inspirasi Stefania.
STEFANIA hanya berusia 16 tahun tetapi hasil solekannya seperti profesional.
CORAK burung merak yang dilukis Stefania pada kelopak matanya.
STEFANIA sekali lagi menghasilkan lukisan pelukis kegemarannya Van Gogh yang bertajuk Almond Blossoms.
SETIAP karya mengambil masa sejam setengah untuk disiapkan.
STEFANIA menggunakan celak jenama NYX Cosmetics untuk menghasilkan karya The Great Wave off Kanagawa oleh Hokusai.
STEFANIA mendapat perhatian di media sosial kerana menghasilkan karya yang mengagumkan.
Agensi

Ada sesetengah artis menggunakan cat, ada juga memilih arang batu atau tanah liat untuk menghasilkan karya mereka tetapi berbeza pula dengan artis muda berbakat ini yang menghasilkan karya menakjubkan menggunakan alat solek.

Stefania, peminat solekan dari Britain amat dikagumi menerusi karya solekannya dan lebih menakjubkan dia baru berusia 16 tahun.

Baru-baru ini, dia memukau pengguna media sosial dengan mencipta lukisan karya Claude Monet dan Vincent Van Gogh pada kelopak matanya.

Stefania sebenarnya baru berjinak-jinak dengan seni kelopak mata dan memuat naik karyanya di Instagram pada September lalu.

Namun, ia tidak mengambil masa yang lama untuk Stefania meraih populariti.

Dia yang bermula dengan solekan mata ringkas dan cantik, baru-baru ini berjaya membuat rekaan kreatif seperti corak harimau bintang dan kuda belang.

Kemudian pada 30 Disember lalu, dia memuat naik lukisan Starry Night oleh Van Gogh, sebagai inspirasi untuk karya pertamanya dalam siri terbaru itu.

“Saya mahu mencipta kelainan dan mencabar diri dengan solekan saya. Saya begitu meminati karya Van Gogh dan sudah lama meniru lukisannya.

“Saya teringat apabila mendapat tahu kami berkongsi tarikh lahir yang sama ketika berusia enam tahun dan sejak itu saya menjadikan dia sebagai inspirasi,” katanya.

Solekan pada kelopak mata yang diinspirasikan daripada lukisan oleh artis terkenal Belanda itu mengambil masa sejam setengah untuk disiapkan.

Dengan menggunakan pelbagai warna celak seperti biru, oren, kuning dan hitam dari jenama seperti Anastasia Beverly Hills dan NYX Cosmetics, Stefania dengan berhati-hati melukis pusaran langit malam, bulan dan pemandangan bandar.

Karya kedua pula adalah adaptasi daripada lukisan The Great Wave off Kanagawa oleh artis Jepun, Hokusai, dengan menggunakan lebih banyak celak untuk mencipta ombak.

Dia kemudian menghasilkan kembali karya Van Gogh bertajuk Almond Blossoms menggunakan alat solek dari NYX Cosmetics. Dia turut menggunakan bulu mata palsu pada karyanya yang lain.

Karya terbarunya yang dimuat naik di Instagram diinspirasikan daripada lukisan teratai oleh Claude Monet.

Selain itu Stefania turut memuat naik video tutorial supaya pengikutnya tahu bagaimana dia melakukannya.

Malah, syarikat NYX sendiri kagum dengan karya Stefania dan menulis komen: “Mengagumkan, cantik, begitu cantik.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:04 AM