PEMAIN THT, Muhammad Firhan Ashaari (dua dari kiri) diasak Meor Muhamad Azuan Hasan (dua dari kanan) dari KLHC semalam.
Faizul Azlan Razak
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menyekat hajat besar Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila mempertahankan Piala Sumbangsih dengan kemenangan 6-5 menerusi penentuan penalti di Stadium Hoki Batu Buruk, malam tadi.

Dalam masa sebenar, kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Anak buah Sarjit Singh yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Tan Sri P Alagendra bermula garang untuk memburu gol awal.

Pada minit ke-4, THT memperoleh tiga sudut penalti berturut-turut, namun gagal menembusi gawang KLHC yang dikawal Roslan Jamaluddin.

Seminit selepas itu, tuan rumah sekali lagi dihadiahkan sudut penalti, namun segala-galanya bagaikan tidak menjadi.

Pada minit ke-10, pelawat yang dibimbing Muhammad Harun Alrashid Samsi turut mempersiakan pukulan sudut penalti.

Pada suku ketiga, tuan rumah tersentak apabila KLHC membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Noor Faeez Ibrahim pada minit ke-31.

Begitupun, dua minit kemudian, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang penyerang berbisanya, Faizal Saari.

Seminit berselang, pintu gawang tuan rumah yang dikawal Muhammad Hafizuddin Othman terselamat apabila bola pukulan penyerang KLHC Muhammad Haziq Samsul sekadar melintasi pintu gol.

Pada minit ke-51, hantaran Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin berjaya disudahkan pemain import KLHC Muhammad Umar Bhutta untuk gol kedua.

Bagaimanapun, pemain import THT kelahiran Korea Selatan Jang Jonghyun muncul penyelamat apabila menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:13 AM