Tuan Asri Tuan Hussein

“Jaga negara anda daripada tersebarnya fahaman Syiah. Jika Syiah masuk, itu satu daripada punca kejahatan dalam negara kamu. Bagi saya, peperangan di Syria berlaku kerana Allah SWT nak tunjukkan kepada kita bagaimana rupa sebenarnya orang Syiah.

“Saya nasihatkan banteras habis-habisan golongan Syiah di negara anda. Kami dulu hidup dengan Syiah di dalam satu negara. Keadaan pada mulanya seperti biasa, tapi rupa-rupanya hanya sementara sebelum mereka menunjukkan perangai sebenar.”

Itu kata ulama tersohor Syria, Sheikh Sariah al-Rifaie yang kini tinggal dalam pelarian di Turki ketika saya menemubualnya di Istanbul pada 2014.

Saya teringat kepada nasihatnya itu apabila muka depan akhbar ini semalam memaparkan mengenai kegiatan satu gerakan militan yang menggelarkan kumpulan mereka Ansarul Imam Mahdi atau pengikut Imam Mahdi dengan sejumlah 80 hingga 100 pengikut dikesan di Malaysia.

Menurut sumber polis dari bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman, kumpulan sayap bersenjata gerakan Syiah Al-Yamani berpangkalan di Iraq itu percaya ketua mereka Ahmad Hassan adalah Imam Mahdi dan pengikut di Malaysia direkrut untuk berjihad di Iraq.

Dalam pertemuan itu, perbincangan banyak menjurus kepada bahaya atau ancaman Syiah di Malaysia.

Dia amat menggalakkan Harian Metro mengetengahkan isu itu, mengulangi apa yang pernah diperkatakannya dalam pertemuan sebelum ini kira-kira setahun lalu.

Kepada yang kurang faham isu Syiah, wajar dinyatakan serba ringkas di sini kesesatan mereka. Antaranya, al-Quran dianggap tidak sempurna, mencela sahabat dan isteri Rasulullah SAW, menghalalkan nikah mutaah, menolak ijmak ulama dan semua fatwa Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Awak semua kena tulis mengenai bahaya Syiah kerana ia kini sudah menjurus kepada kegiatan militan,” kata sumber kami itu.

Kami menjelaskan kepadanya isu ancaman Syiah di Malaysia bukan perkara baru. Jika ditanya kepada ‘Profesor Google’ di Internet dengan menaip perkataan Syiah di Malaysia akan tertera ribuan informasi.

Bukan hanya maklumat bertulis, malah lengkap dengan gambar dan video, namun semuanya tidak dapat dipastikan kesahihannya dan kami tidak boleh sekadar menceduknya untuk dijadikan berita.

Antara yang popular ialah senarai pemimpin Syiah di negara ini dan ‘hauzah’ (rumah ibadat) mereka di Selangor dan Johor. Malah di Kedah, seorang tokoh pemimpin Syiah berpusat di Pendang amat dikenali umum dan menjalankan aktivitinya secara terbuka.

Apabila ditanya kepada sumber kami itu yang juga pegawai kanan polis sejauh mana kebenaran maklumat berkenaan terutama nama individu tertentu yang didakwa pengikut fahaman Syiah, dia memberitahu kebanyakannya betul.

Individu berkenaan bukan calang-calang orang kerana ada di antara mereka orang politik, tokoh akademik dan pegawai kanan agensi kerajaan termasuk di jabatan agama Islam negeri.

“Habis tu kenapa tak tangkap saja mereka? Sudah jelas ajaran Syiah bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini dan difatwakan sesat di banyak negeri,” tanya kami.

Kata pegawai polis itu, pihaknya tidak boleh menahan pengikut Syiah kerana ia di luar bidang kuasa polis, sebaliknya ia tanggungjawab jabatan agama Islam negeri (JAIN).

Menurutnya, polis sudah menyalurkan segala maklumat kepada JAIN di negeri-negeri terbabit, namun acap kali tiada tindakan susulan dilakukan.

Apabila ditanya mengenai satu serbuan dan penangkapan pengikut Syiah yang dilakukan penguat kuasa agama Islam sebuah negeri akhir tahun lalu, pegawai polis itu berkata, ia sebenarnya hasil maklumat pihaknya.

“Itupun pada mulanya penguat kuasa agama negeri itu tak mahu membuat serbuan biarpun anggota polis sudah membuat kepungan awal di lokasi. Selepas kami mengadu kepada pejabat mufti barulah mereka datang serbu,” katanya.

Saya tidak mahu menyalahkan atau memburuk-burukkan JAIN, lantas menghubungi seorang kenalan di JAIN untuk mendapat maklum balasnya.

Rakan itu mengaku pihaknya ada maklumat mengenai kegiatan pengikut Syiah, namun memberitahu kebanyakan JAIN berdepan masalah kekurangan kakitangan terutama penguat kuasa.

Dia menafikan pihak JAIN bersikap acuh tak acuh dalam isu Syiah tapi menjelaskan serbuan atau apa saja tindakan tidak boleh dilakukan sewenang-wenang tapi perlukan persiapan rapi dan maklumat betul.

Saya menghargai keprihatinan polis dalam isu Syiah dan saya juga faham dengan kekangan dialami penguat kuasa JAIN. Persoalannya, sampai bila keadaan ini akan berterusan.

Sudah bertahun-tahun kita hanya bercakap mengenai bahaya dan ancaman Syiah di Malaysia tapi sehingga kini belum ada tindakan drastik. Yang pasti, jumlah pengikut Syiah semakin ramai di negara ini dan semakin mengancam akidah umat Islam serta keselamatan negara.

Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah. Cukuplah apa yang berlaku di Syria diambil sebagai pengajaran. Semoga pihak berkuasa kita pantas bertindak supaya kita tidak mengalami nasib yang sama seperti saudara kita di Syria.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 4:32 AM