Anggota PPM memeriksa PATI dalam serbuan di pantai Sungai Musoh, Sungai Rengit. FOTO ihsan PPM Johor
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my


Kota Tinggi: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang menahan tiga tekong darat bersama 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tiga serbuan berasingan di Pantai Sungai Musoh, Sungai Rengit, Pengerang, di sini, bermula 2 pagi tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Asisten Komisioner Paul Khiu Chiang berkata, PATI Indonesia itu terdiri daripada 34 lelaki dan enam wanita.

"Tangkapan dilakukan bermula jam 2 pagi hingga 4.40 pagi hasil maklumat orang ramai dan risikan.

"Seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai pemandu untuk menghantar enam PATI ditahan di dalam kereta.

"Kami turut memeriksa hutan berhampiran dan menemui sekumpulan PATI yang mengaku baru mendarat menggunakan bot pancung dari Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, tangkapan lain membabitkan sekumpulan PATI yang menunggu bot pancung untuk pulang ke Indonesia.

Katanya, semua tangkapan berusia antara 20 hingga 45 tahun dan ditahan mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen, masuk dan keluar melalui jalan tidak diwartakan dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

"Tiga lelaki disyaki tekong darat akan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipemerdagangan Migran (ATIPSOM).

"Selain itu, kami merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan untuk membawa pendatang asing itu.

"Kami akan melakukan rondaan berjadual bagi membanteras penyeludupan manusia dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 8:48 PM