Keadaan Mohamad Syafiq Aiman Abdullah, 10, yang cedera akibat melecur ketika dirawat di HTAA. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


Pekan: Seorang pelajar Maahad Tahfiz Nurul Iman, Tanjung Batu, di sini, melecur di muka dan tangan dalam kebakaran di asrama maahad itu, malam tadi.

Kejadian jam 8.15 malam itu berlaku ketika semua penghuni seramai 12 orang berada di masjid berdekatan untuk solat Isyak.

Ketua Polis Daerah Superintendan Amran Sidek berkata, bagaimanapun ketika kejadian mangsa, Mohamad Syafiq Aiman Abdullah, 10, pulang ke maahad berkenaan untuk menukarkan pakaian yang basah.

"Namun, mangsa kemudian datang semula ke masjid dalam keadaan melecur dan memaklumkan asrama dibakar oleh seseorang tidak dikenali yang menaiki kereta jenis Proton Saga," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami melecur di bahagian muka dan tangan dihantar ke Hospital Pekan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut kepada warden yang berusia 32 tahun mendapati dia tidak mempunyai sebarang musuh dan tidak ada berdendam dengan sesiapa.

"Ketika kejadian semua pelajar dan tenaga pengajar berada di masjid kira-kira 200 meter dari lokasi dan tidak menyedari kebakaran berlaku," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca selain mendapatkan keterangan lanjut daripada mangsa terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 1:02 PM