Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Lelaki yang mengamuk dan menendang kereta di Jalan Masjid Kapitan Keling, dikenakan hukuman denda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, N Linkeswaran, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret L Uma Devi.

Mengikut pertuduhan, Linkeswaran didakwa melakukan perbuatan itu jam 11.30 pagi di depan Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Kapitan Keling, Ahad lalu.

Dia yang bekerja sebagai penghantar surat didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan kereta Proton Waja milik seorang lelaki.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih lima tahun.

Uma Devi kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1, 700 dan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nurna Asyikin Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 11:18 AM
Lelaki yang mengamuk dan menendang kereta di Jalan Masjid Kapitan Keling dikenakan hukuman denda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.