PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal (tengah belakang) bergambar bersama pasukan hoki wanita dan barisan penaja pada sidang media di Hotel Concorde, semalam.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Menamatkan kempen pusingan kedua Liga Hoki Dunia di tempat ketiga bukan pilihan pengendali skuad wanita negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Meskipun peluang masih cerah untuk layak menerusi kedudukan itu, Dhaarma lebih memilih untuk menyaksikan anak buahnya mara ke final sekali gus layak secara automatik ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Ini kerana, hanya dua pasukan ranking paling baik daripada tiga pasukan yang menduduki tempat ketiga di tiga pusingan kedua, layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Selepas Malaysia, dua lagi pusingan kedua akan berlangsung di Sepanyol serta Kanada.

“Kalau sekadar untuk turun beraksi tanpa apa-apa, matlamat itu memang tak masuk akal.

“Oleh kerana kita menjadi tuan rumah, maka sasarannya adalah untuk layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Walaupun tempat ketiga masih memberi peluang kepada kita untuk layak, hakikatnya peluang itu lebih terbuka buat pasukan yang menduduki ranking terbaik seperti Ireland dan Itali.

“Jadi untuk berada dalam kedudukan selamat, layak ke final adalah sasaran kami,” katanya pada sidang media semalam.

Sepanjang sejarah skuad wanita negara, belum pernah pasukan yang menduduki ranking ke-21 dunia itu layak beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, cabaran terakhir untuk mencari slot kelayakan ke Piala Dunia 2018.

Pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Tun Razak dilihat peluang terbaik untuk skuad negara layak buat kali pertama dengan mengambil kira prestasi semasa mereka.

Di bawah bimbingan Dhaarma, skuad negara meraih pencapaian memberangsangkan apabila menewaskan pasukan ranking lebih tinggi Jepun di Trofi Juara-Juara Asia di Singapura, Oktober tahun lalu sebelum menewaskan Ireland sekali dalam lima perlawanan persahabatan dengan pasukan ranking kelima dunia itu.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Ireland, Kazakhstan serta Hong Kong yang akan ditemui pada perlawanan pertama esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:17 AM