Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seperti tiada jalan mudah buat ratu skuasy negara Datuk Nicol David (gambar) untuk kembali menguasai pentas dan meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan tahun ini.

Selepas tergelincir ke ranking ketujuh dunia, kedudukan terburuk sejak September 2015, impian Nicol untuk merampas mahkota juara dunia mungkin sukar apabila Persekutuan Skuasy Profesional (PSA) mengumumkan Kejohanan Skuasy Wanita dunia akan berlangsung di El Gouna, Mesir.

Beraksi di bumi Mesir dengan tiga pemainnya menguasai tiga ranking teratas dunia mungkin lebih menyukarkan pemain dari Pulau Pinang itu.

Merekodkan rentetan kekalahan di tangan tiga pemain Mesir - pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini selain Nouran Gohar dan Raneem El Wilily - kejohanan di Negara Teluk itu pada 5 hingga 14 April tidak boleh dianggap mudah.

Nicol akan beraksi bersama 56 pemain wanita terbaik dunia selepas kali terakhir Mesir menjadi tuan rumah pada 2014 yang menyaksikan pemain itu menambah koleksi gelaran dunia kelapan.

Ketua Pegawai Eksekutid PSA Alex Gough berkata, selepas berlaku penundaan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, akhirnya Kejohanan Dunia akan dilangsungkan April ini.

“Kami gembira mengesahkan edisi Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2016 akan dilangsungkan pada April ini selepas terpaksa menunda tarikh.

“Kami berusaha keras menjalinkan kerjasama bersama beberapa pihak untuk memastikan kejohanan ini dapat dilangsungkan supaya pemain tidak terlepas peluang merebut gelaran paling berprestij skuasy,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:12 AM