PENUNTUT SMART KYP (tengah) berpeluang mengajar Orang Di Selia (ODS) membaca al-Quran.
ORANG Di Selia (ODS) ketika mengikuti majlis penutup program Sahabat@ODS.
PENUNTUT SMART KYP (tengah) berpeluang mengajar ODS membaca al-Quran.
SAYUP alunan bacaan al-Quran menyentuh jiwa hadirin.
MEMILIKI bakat tersembunyi sewaktu mengadakan persembahan nasyid.
DR Siti Norlasiah menyampaikan sijil kepada ODS.
MENGGENGGAM segulung sijil jelas menunjukkan mereka mahu berubah ke arah yang lebih baik pada masa depan.
Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my


Rutin membaca dan menghayati al-Quran membawa sinar dan kekuatan baru buat 50 Orang Di Selia (ODS) atau banduan insaf untuk kembali ke pangkal jalan, melupakan kesilapan lampau dengan menjalani kehidupan lebih bermakna.

Sepanjang berada di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10, Kuantan, golongan terbabit dibimbing 13 pelajar Sekolah Menengah Arab Tahfiz (SMART) Kolej Yayasan Pahang (KYP), Kuantan, yang mengadakan kelas setiap minggu.

Program julung kali diperkenalkan itu anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia turut mengadakan 73 sesi kaunseling kepada ODS.

ODS yang hanya mahu dikenali sebagai Kay, 35, berkata Allah masih memberi peluang kepadanya untuk bertaubat dan insaf dengan kembali ke pangkal jalan selepas terbabit kes bunuh kira-kira 17 tahun lalu.

Katanya, kelas al-Quran diadakan dapat menambahkan kemahiran membaca kitab suci itu dengan betul. Tenaga pengajar berpengalaman pula memberikan lebih kesedaran, semangat dan kesungguhan kepadanya untuk terus belajar.

Katanya, walaupun hanya dalam masa lima bulan belajar, kemampuan mengenal dan membaca al-Quran begitu membanggakan malah rasa insaf dalam diri kian menebal.

“Saya hampir ke tali gantung namun selepas proses perbicaraan, saya disabitkan kesalahan membunuh tanpa niat yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan kini hanya berbaki setahun.

“Selepas mengikuti kelas membaca al-Quran, hati saya kini semakin kuat untuk meneruskan kehidupan sebagai insan yang tunduk dan patuh ajaran Islam,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Menurutnya, sepanjang menjalani hukuman dia ditempatkan di Tapah, Perak; Marang, Terengganu dan Penjara Penor, Kuantan sebelum berada di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10.

Berbaki setahun hukuman sebelum dibebaskan, dia dibenarkan menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10. Setiap hari aktiviti dilakukan termasuk memotong rumput dan membersihkan kawasan dalam kem berkenaan.

“Selepas meringkuk begitu lama dalam penjara, saya kini benar-benar insaf dan menyesal dengan tindakan liar sebelum ini, sejarah hitam itu biarlah menjadi pengajaran paling bermakna.

“Peluang kedua yang diberikan ini akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk mentaati perintah Allah dan menjadi insan berguna kepada keluarga serta masyarakat,” katanya yang tidak sanggup lagi mengimbau kisah silam.

Kay berazam didikan agama dan latihan kemahiran diterima sepanjang berada dalam penjara terus diamalkan serta akan digunakan untuk menjalani kehidupan apabila dibebaskan kelak.

“Setiap hari selepas solat saya berdoa supaya keluarga dan masyarakat dapat menerima apabila dibebaskan nanti, sokongan di luar sana menguatkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dia ditemui pada majlis penutup Program Sahabat@ODS yang disempurnakan Ketua Pengarah LPPKN Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10, baru-baru ini.

Bagi seorang lagi ODS, Ali, 23, disebabkan terlalu ikutkan hati dan pengaruh rakan dia terbabit aktiviti penagihan serta memiliki dadah pada usia masih muda sekali gus peluang membina hidup yang sempurna disia-siakan.

“Saya menerima hukuman tiga tahun penjara yang mengajar erti kebebasan dan maruah, didikan agama serta kelas membaca al-Quran sepanjang berada dalam penjara dan pusat pemulihan ini begitu menginsafkan saya.

“Menerusi sokongan keluarga, saya berazam berusaha membina hidup baru yang bebas najis dadah. Ini kerana kekuatan semangat saja dapat menangkis ancaman dadah yang pasti akan ‘datang’ apabila saya dibebaskan kelak,” kata anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Selangor.

Menurutnya, selepas mengikuti kelas membaca al-Quran dia kini sudah mula dapat membacanya walaupun tidak lancar.

“Ketika kanak-kanak dan di sekolah rendah saya pernah belajar agama dan membaca al-Quran di kampung,” katanya.

Ali berkata, walaupun dibekalkan ilmu agama oleh keluarga namun disebabkan hati muda dan pengaruh rakan dia terjebak dengan dadah yang membawa hukuman penjara tiga tahun.

“Saya kini menyesal dan insaf dengan perbuatan lalu, setiap hari saya berdoa supaya tidak mengulanginya. Kisah lalu menjadi pengajaran untuk membina hidup baru yang lebih bermakna,” katanya.

ODS Zahar, 26, berasal dari Kelantan pula berkata, sejarah hitam terbabit kes curi menyebabkannya menerima hukuman penjara dua tahun enam bulan termasuk ditempatkan di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10 itu.

“Saya menyesal dan berjanji kepada keluarga untuk berubah serta kembali ke pangkal jalan. Didikan agama diterima sebelum ini menjadi panduan untuk diamalkan.

“Kelas membaca al-Quran yang diikuti dapat menambah kemahiran membaca dan menghayati kitab suci itu,” katanya.

Menurutnya, kemahiran membaca al-Quran yang diperoleh akan terus diamalkan supaya menjadi benteng melawan nafsu yang sebelum ini ‘melekat’ dalam dirinya hingga terbabit kes curi.

Sementara itu, Dr Siti Norlasiah berkata, Program Sahabat@ODS Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10 diharap dapat diteruskan dalam usaha memberikan ilmu dan keinsafan kepada ODS yang terbabit pelbagai kesalahan.

“Sokongan dan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan SMART KYP menjadi pencetus kejayaan program kali pertama diperkenalkan di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:05 AM