Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim (kanan) ketika bertemu Wirda Syamsuddin 52 (kiri - ibu Nova Safitri Azhari), Normah Toso, 65, (dua dari kanan - ibu Fairuz Nizam Husain) dan Yusnidah Husain, 47, (kakak Fairuz Nizam) ketika menziarahi keluarga mangsa nahas Lebuh Raya DUKE di Taman Batu Muda pada Mei 2015 - Foto Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Nenek dua kanak-kanak yang kematian ibu bapa dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada Mei 2015, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, beliau pernah menjaga dua cucunya itu selama 13 hari.

Wirda Syamsuddin, 54, nenek Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 9, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 5, berkata tempoh itu paling lama ketika anak perempuan dan menantu lelakinya iaitu Nova Safitri Azhari dan Fairuz Nizam Husain menunaikan umrah.

"Anak dan menantu menunaikan umrah pada Februari 2014, lebih kurang 13 hari," katanya sambil memberitahu kali pertama beliau menjaga dua cucunya ialah pada awal 2014 iaitu ketika mangsa mempunyai tugasan di Teluk Intan, Perak.

Wirda, defendan dalam kes itu berkata demikian ketika disoal balas peguam syarie Mahyuddin Md Zahari yang mewakili ibu saudara kanak-kanak berkenaan, Yusnidah Husain, 49, selaku plaintif dalam perbicaraan hak penjagaan kekal (hadanah) ke atas Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila.

Wirda, yang diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff, berkata mereka sekeluarga termasuk arwah anak dan menantunya serta Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila juga pernah meluangkan masa bercuti dan menyambut Aidilfitri bersama-sama di Indonesia pada 2013 dan 2014.

Beliau memberitahu mahkamah, sehari selepas kemalangan maut itu, beliau dan ibu plaintif berbincang berhubung penjagaan kedua-dua cucunya itu.

Wirda bagaimanapun berkata , ketika menunaikan umrah pada 15 Mei 2015, beliau mengetahui Yusnidah mendapat hak penjagaan sementara dua cucunya.

Menjawab soalan sama ada beliau pernah bertanya kepada kedua-dua cucunya sama ada mereka mahu tinggal bersamanya, Wirda menjawab: "Tidak".

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan menamakan Wirda sebagai defendan.

Pada 11 Ogos 2015, mahkamah memberi hak penjagaan sementara dua kanak-kanak itu kepada Yusnidah.

Dalam kejadian 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves, dekat sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung pada 20 dan 28 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 7:23 PM