COSLLAYER yang hadir.
ARENA dipenuhi peminat selama tiga hari.
PENGULAS yang hadir.
EXECRATION lawan Wings Gaming.
PENULIS bersama Rizky 'Inyourdream' Anugrah (kanan).
PASUKAN Wings Gaming.
PASUKAN Virtus Pro.
DIGITAL Chaos muncul juara.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Berpeluang menyaksikan pertandingan Dota 2 secara besar-besaran di tanah air kita membuka mata penulis terhadap potensi untuk industri ini berkembang lebih pesat.

ESL One Genting 2017 anjuran ESL dengan kolaborasi Resorts World Genting baru-baru ini mengumpulkan lapan pasukan Dota 2 dari seluruh dunia yang bertanding merebut hadiah wang tunai terkumpul AS$250,000 (RM1.1 juta).

Minuman pemberi tenaga, Red Bull adalah penaja rasmi bagi kejohanan e-sukan berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 Januari hingga 8 Januari.

Lapan pasukan terbabit adalah Digital Chaos, Newbee, Team NP, Execration, Virtus Pro, Wings Gaming dan dua wakil Malaysia, Fnatic serta WG.Unity.

Kapten pasukan Digital Chaos, Rasmus Filipsen (Misery), 25, berkata, kemenangan itu satu pencapaian baik buat pasukan itu.

“Sebelum ini kami hanya berjaya meraih tempat kedua di The International 6 dan keempat di Boston Major.

“Oleh itu, kemenangan kali ini membuka lembaran baru bagi 2017. Kami berharap terus maju dan berjaya dalam kejohanan lain juga,” katanya.

Menurutnya, pasukan lawan di pusingan akhir iaitu Newbee bermain bersungguh-sungguh dan agak sukar diramal.

“Pemain tengah Newbee, Song Chun (Sccc) sangat handal dan bijak mengawal rentak permainan kami. Kebolehannya diakui luar biasa untuk kandungan terbaru 7.00 Dota 2 yang berkuat kuasa tidak sampai sebulan.

“Namun, kami percaya kekuatan DC terletak pada koordinasi dan bagaimana kami mengatur strategi serangan berkumpulan. Itu kelebihan kami selepas membuat ‘counter-pick’ menentang mereka,” katanya.

Digital Chaos selaku juara ESL One Genting membawa pulang wang tunai AS$125,000 (RM559,125).

Pasukan dari Amerika Utara itu diwakili Roman Fominok (Resolut1on), Aliwi Omar (W33), David Tan (MoonMeander), Rasmus Filipsen (Misery) dan Martin Sazdov (Saksa).

Perkasakan industri

Sementara itu, Naib Presiden Pro Gaming ESL, Ulrich Schulze berkata, populariti Dota di rantau Asia Tenggara sangat memberangsangkan dan ini adalah saat sesuai untuk memperluaskan sektor itu.

“Kolaborasi bersama Resorts World Genting dapat menggalakkan pertumbuhan sukan elektronik di Malaysia. Setiap pihak terbabit sangat gigih, komited dan bekerja keras menjayakan acara berpestij ini,” katanya.

Naib Presiden Resorts World Genting Kevin Tann turut melahirkan rasa teruja mengenai kolaborasi ini.

“E-sukan adalah satu industri yang besar dan berkembang pesat di seluruh dunia dan kami berharap dapat memainkan peranan untuk meningkatkan mutu pasaran tempatan serta serantau.

“Kami berbangga dapat berkolaborasi dengan ESL, organisasi e-sukan terbesar yang menganjurkan acara berprestij seperti ESL One dan berita, siaran langsung serta membantu komuniti e-sukan untuk berkembang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 12:03 PM