TERDAPAT pelbagai jenis sakit kepala yang dialami kanak-kanak. – Gambar hiasan
SEGERA dapatkan rawatan sekiranya si kecil tersayang mula menunjukkan tanda sakit kepala. – Gambar hiasan
Siti Nadirah Hafidzin

Sakit kepala, kepala berdenyut dan mata berpinar. Gejala itu sering dialami golongan dewasa terutama ketika berada dalam tekanan namun pastinya situasi itu lebih membimbangkan sekiranya berlaku kepada kanak-kanak.

Kesakitan itu kadangkala menyebabkan kanak-kanak yang masih berada di bangku sekolah rendah atau tadika menjadi murung dan pendiam, mungkin akibat menahan kesakitan yang dianggap janggal pada mereka.

Tidak boleh memberikan mereka sembarangan ubat apatah lagi yang diambil oleh orang dewasa. Jika anak kelihatan resah, cara terbaik adalah membawa mereka ke klinik dan berjumpa doktor supaya masalah sebenar dapat diketahui.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, sakit kepala dalam kalangan kanak-kanak biasa berlaku dan selalunya tidak serius.

Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak boleh mengalami pelbagai jenis sakit kepala termasuk migrain atau sakit kepala yang berkaitan dengan tekanan di sekolah.

“Namun begitu ada kes sakit kepala dalam kalangan kanak-kanak yang agak serius disebabkan jangkitan kuman atau kecederaan pada kepala sehingga menyebabkan pembentukan darah beku di otak.

“Kebanyakan sakit kepala kanak-kanak tidak serius, tetapi segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan sekiranya ia mengganggu rutin sehariannya contohnya sakit kepala sehingga sukar tidur dan berlarutan selepas bangun tidur.

“Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan jika sakit kepalanya lebih teruk dan semakin kerap atau sehingga si kecil menjadi pendiam dan tidak aktif di sekolah,” ujarnya.

Katanya, rawatan segera perlu didapatkan bagi mengelak risiko berlakunya penyakit berbahaya. Walaupun segera membawa anak berjumpa doktor adalah langkah terbaik, tetapi sebagai ibu bapa dan penjaga, kita juga perlu mengetahui serba sedikit mengenai masalah ini. Ia penting supaya kita dapat memberi pemerhatian dan maklumat yang lebih terperinci mengenai keadaan anak apabila berjumpa doktor.

a. Sakit kepala akut

Sakit kepala ini berlaku hanya sesekali dikenali juga sakit kepala akut. Ini mungkin berpunca daripada:

• Jangkitan virus yang ringan seperti selesema dan demam. Bagaimanapun, jangkitan penyakit berjangkit yang serius contohnya demam denggi, malaria dan demam kepialu juga boleh menyebabkan sakit kepala akut.

• Sinus adalah laluan udara yang terdapat di antara tulang muka dan tulang tengkorak. Kanak-kanak akan mengadu sakit kepala apabila laluan udara ini dijangkiti dan dipenuhi cecair atau lendir, keadaan ini dikenali sebagai sinusitis.

• Sakit kepala boleh juga terjadi apabila otot di sekeliling mata menjadi penat. Ia mungkin berlaku apabila kanak-kanak mengalami masalah rabun dekat atau lapisan kornea yang tidak rata (astigmatism) menyebabkan mereka mengalami ketegangan semasa melihat.

• Glaukoma ialah satu keadaan apabila tekanan pada bola mata meningkat dan keadaan ini sekali-sekala menyebabkan sakit kepala.

• Gigi bernanah atau jangkitan gusi juga boleh menyebabkan sakit kepala.

b. Sakit kepala kronik atau berulang

Sakit kepala yang berlaku berulang kali atau berterusan dalam jangka masa panjang dikenali sebagai sakit kepala kronik.

Kanak-kanak yang mengalami sakit kepala kronik jarang mendapat masalah gangguan otak yang serius seperti ketumbuhan otak, pembesaran arteri secara berlebihan atau kemerosotan fungsi otak.

Gejala yang biasa berlaku ialah muntah, hilang penglihatan, lemah anggota badan, sawan atau kemerosotan ingatan.

Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami sakit kepala kronik atau berulang mengalami migrain atau sakit kepala disebabkan ketegangan.

c. Migrain

Migrain mengakibatkan sakit seperti mencucuk-cucuk di sebelah kepala. Ia bermula pada dahi dan tepi kepala atau kedua-dua bahagian kepala.

Kanak-kanak juga mungkin berasa loya dan muntah. Pada masa sama, mereka mungkin mengadu mata berpinar dan mengganggu ketenangan dan keselesaannya.

Kanak-kanak yang mengalami migrain lebih selesa dengan suasana senyap dan gelap untuk berehat kerana suasana bising dan terang menyebabkan sakit kepala menjadi semakin teruk.

d. Sakit kepala tegang

Sakit kepala ini amat lazim terjadi dalam kalangan kanak-kanak. Ia juga dikenali sebagai sakit otot kepala yang berpunca daripada ketegangan otot pada bahagian dahi dan tepi kepala. Sakit kepala ini selalunya disebabkan perasaan bimbang, tekanan emosi atau situasi yang tegang di mana jua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 2:17 PM