WILLIAM Waldock (gambar kecil)

JAKARTA (Indonesia): Seorang pakar nahas udara, William Waldock daripada Universiti Aeronautikal Embry-Riddle di Prescott, Arizona memberi peringatan agar kehilangan pesawat QZ8501 tidak dibandingkan dengan kehilangan MH370.

"Kita perlu melihat apa yang berlaku seterusnya. Mudah-mudahan pesawat itu ditemui dalam tempoh beberapa jam lagi.

"Sehingga itu, kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi," katanya.

Airbus dalam satu kenyataan berkata pesawat yang hilang berkenaan berusia enam tahun dan dihantar kepada AirAsia pada Oktober 2008.

Ia sudah merekodkan sebanyak 23,000 jam penerbangan membabitkan 13,600 penerbangan dan menurut AirAsia, kali terakhir pesawat itu diselenggara adalah pada 16 November lalu.

Ketika ini terdapat 3,606 pesawat A320 beroperasi di seluruh dunia menurut Airbus.

Kelas A320 termasuk pesawat A319 dan A321 mempunyai rekod keselamatan yang amat baik, dengan hanya 0.14 kemalangan maut setiap sejuta penerbangan direkodkan menurut laporan keselamatan Boeing pada Ogos.

QZ8501 hilang ketika berada pada altitud 'cruising' yang kebiasaanya tempoh paling selamat dalam sesebuah penerbangan. Hanya 10 peratus nahas udara dicatatkan pada altitud berkenaan sejak 2004 hingga 2013 menurut laporan sama.

Pada 2007, sebuah pesawat Indonesia milik Adam Air membawa 102 penumpang dilaporkan hilang sewaktu penerbangan domestik. Serpihan ditemui beberapa hari kemudian namun bangkai utama pesawat masih berada di dasar laut.

Meredah cuaca buruk seperti ribut petir mungkin faktor kehilangan QZ8501, namun pesawat Airbus adalah sangat canggih dan boleh menyesuaikan diri dengan gangguan cuaca atau angin.

Bagaimanapun, cuaca merupakan faktor dalam beberapa nahas udara yang berlaku pada altitud 'cruising', termasuk nahas Air France 447 di Lautan Atlantik.

Satu lagi kemungkinan adalah disebabkan struktur besi menjadi lemah (catastrophic metal fatigue) akibat tekanan ketika berlepas dan mendarat - sesuatu yang pasti sering dilakukan pesawat itu. Bagaimanapun perkara itu agak mustahil kerana pesawat berkenaan baru berusia enam tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 1:01 AM