Anggota bomba berusaha mengeluarkan cincin mangsa yang tersekat. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Slim River: Seorang wanita terpaksa menahan sakit lebih dua jam selepas cincin dipakai di jari manis tangan kirinya tersekat hingga menyebabkan jarinya itu membengkak sebelum berjaya dikeluar bomba di Hospital Slim River, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, difahamkan mangsa Ros Shuhada Mohd Sofian, 24, ke hospital berkenaan bagi mengeluarkan cincin berkenaan namun gagal sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dipanggil.

Ketua Operasi dari BBP Slim River, Pegawai Bomba Kanan 2, Yussli Abd Latif berkata, anggota yang tiba mendapati cincin berkenaan tersekat pada jari manis mangsa hingga menyebabkan jarinya itu membengkak.

"Anggota kemudiannya menggunakan alat pemotong dan playar bagi memotong cincin berkenaan.

"Anggota mengambil masa kira-kira 15 minit dan berjaya mengeluarkan cincin berkenaan sebelum mangsa diserahkan kepada hospital untuk rawatan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:53 AM