PEMAIN dan pegawai THT ceria bersama trofi kejohanan dimenangi malam tadi.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Terengganu Hockey Team (THT) mendapat suntikan semangat menjelang pembuka tirai Liga Premier selepas menjulang Piala Tan Sri P Alagendra dengan menewaskan Maybank 5-3 malam tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad bimbingan Sarjit Singh berpeluang merangkul gelaran kedua apabila bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) untuk perebutan Piala Sumbangsih, Jumaat ini.

Bekas penyerang negara Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil meletakkan THT di depan menerusi jaringan padang pada minit ke-15.

Namun Hafifihafiz Hanafi berjaya menyamakan kedudukan selepas menguis cantik dalam kawasan D pada minit ke-22.

Gol penyamaan itu tidak bertahan lama apabila pakar pukulan sudut penalti THT Jang Jonghyun kembali meletakkan kelabnya di depan pada minit sama.

Empat minit kemudian, Jonghyun menjaringkan gol kedua peribadi sekali gus ketiga untuk THT apabila menyempurnakan penalti stroke dengan baik.

Bagaimanapun Maybank mula melakukan kebangkitan selepas tonggak import Nam Hyun Woo merapatkan jurang menerusi penalti stroke minit ke-39 sebelum Hafifi menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil gol padang.

Tengku kembali meletakkan THT di depan dengan gol keempat pada minit ke-51.

Jonghyun kemudian meledak hatrik sekali gus gol kelima untuk THT menerusi penalti stroke dua minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 9:42 AM