Muhamed Zainudin diperintah membayar denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kerugian dan kerosakan pada kereta bapanya. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Seorang penganggur diperintah membayar denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, kerana menyebabkan kerugian dan kerosakan pada kereta bapanya kira-kira empat tahun lalu.

Perintah dikeluarkan Majistret Norina Maludin selepas Muhamed Zainudin Mohamed Hussein, 28, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat terhadap harta dan menyebabkan kerosakan sebuah Proton Saga milik Mohamed Hussein Abdul Muthalif, 60, pada jam 8 malam di hadapan sebuah rumah di Bukit Katil, di sini, pada 19 November 2012.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh namun tertuduh melalui pelatih dalam kamar (PDK) merayu dikenakan hukuman berbentuk denda ringan.

Norina memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,800 atau berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 4:37 PM