PENGARAH Urusan Coway Malaysia yang baru, Kyle Choi Ki Ryong (kanan) menyampaikan cenderamata kepada James.

Kuala Lumpur: Coway (M) Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar barangan keperluan rumah dari Korea menyasarkan untuk mencapai peningkatan pendapatan sehingga RM3.27 bilion bagi pasaran di negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, China dan Thailand dalam tempoh 10 tahun.

Pengarah Wilayah Tengah Coway Co Ltd, James Park Jae Young berkata, dalam tempoh yang sama, syarikat terbabit turut menyasarkan peningkatan dua juta pelanggan dari negara berkenaan.

"Operasi perniagaan di Asia Tenggara menyumbang lima peratus daripada pendapatan keseluruhan perniagaan Coway di Korea yang mencatatkan pendapatan RM6.52 bilion menerusi 5.5 bilion pelanggan sedia ada," katanya.

Sementara itu, bagi pasaran di Malaysia pula, pihaknya menyasarkan 23 peratus peningkatan pendapatan iaitu RM320 juta menjelang tahun depan, berbanding RM206 juta pendapatan tahun sebelumnya.

Sasaran terbabit merangkumi peningkatan sehingga sejuta pelanggan berbanding 200,000 pelanggan setakat ini.

"Bagi mencapai sasaran itu, Coway memperuntukkan pelaburan RM1 bilion tahun ini bagi pasaran di Malaysia yang meliputi pelbagai peruntukan termasuk kos operasi, pemasaran dan pembangunan jenama," katanya.

Sementara itu, sejak tahun 2006, Coway Malaysia mempunyai kenaikan pendapatan secara konsisten iaitu 20 peratus setiap tahun.

"Kami menyasarkan untuk membuka 30 hingga 40 cawangan lagi dalam masa lima tahun dan setakat ini Coway mempunyai 60 cawangan di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.

Coway mencapai 30 hingga 40 peratus penguasaan pasaran di Malaysia bagi segmen penapis air. Produk penapis air menyumbang 70 peratus dalam hasil jualan syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:15 AM