ABDULLAH dibantu isteri, Nadiah menyediakan hidangan untuk pelanggan.
NADIAH menyediakan set hidangan minum petang.
SUASANA tenang dan santai menggamit pelanggan untuk datang.
DEKORASI bertemakan gaya Inggeris dengan penggunaan rona putih menarik perhatian.
SUASANA tenang dan santai menggamit pelanggan untuk datang.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Susun atur bertemakan gaya Inggeris dengan penggunaan rona putih menarik perhatian. Melangkahkan kaki memasuki kafe, pelanggan bagaikan disapa dengan binaan pintu gerbang dibalut bunga-bungaan kertas berbentuk empat segi seperti kubah masjid. Pagar besi di bahagian kiri dan kanan pula membuatkan kafe ini tampak seperti taman bunga.

Di bahagian dalam pula turut menghidangkan dekorasi mempesonakan pelanggan. Selain kaunter penyediaan minuman dan makanan yang terletak di bahagian hadapan, terdapat beberapa lukisan digantung kemas di dinding, sedap mata memandang.

Menurut pemilik Little White Cafe Abdullah Nasri, idea menghasilkan dekorasi sebegini datang daripada ibunya, Faizah Zainal Abidin yang juga pemilik syarikat rekaan dalaman F2LD Sdn Bhd.

Ibu mempunyai idea tersendiri bagi memperkenalkan rekaan dan gaya terkini hiasan dalaman termasuk peralatan di dapur, meja serta alas dinding. Ia seakan bilik pameran bagi memperkenalkan koleksi terkini seni rekaan yang diperkenalkan syarikatnya.

“Namun begitu sejak dibuka 2011 lalu sudah banyak pengubahsuaian berlaku. Susun atur perabot banyak bertukar dan biasanya ia mengikut musim perayaan. Putih pula menjadi warna tema agar kafe kelihatan lebih besar dan selesa walaupun ruangnya agak terhad. Malah rona ini mudah dipadankan dengan warna lain seperti hijau dan kuning,” katanya yang mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan dan kulinari dari Amerika Syarikat (AS).

Ketika di AS, Abdullah banyak mengikuti kelas memasak anjuran beberapa tukang masak terkemuka di sana terutama untuk masakan barat. Sebaik tamat pengajian, kafe berkenaan diuruskan sepenuhnya oleh Abdullah dan isterinya Nadiah Ghazali, 30. Namun ibu masih menjadi penasihat terutama mengenai dekorasi dan menu yang diperkenalkan.

“Sejak kecil saya memang minat memasak. Mungkin dipengaruhi minat ibu yang boleh memasak pelbagai jenis kek. Kebanyakan resipi terutama manisan adalah 100 peratus resipi ibu terutama kek red velvet, kek coklat, puding roti dengan sos vanila yang menjadi kegemaran pelanggan. Ada juga saya ubah suai sedikit namun masih menggunakan bahan yang sama.

“Bagi setiap resipi baru pula biasanya saya akan cuba terlebih dulu memberikan ibu dan ahli keluarga menikmatinya. Jika sesuai kami akan memberikan potongan 50 peratus kepada pelanggan supaya mereka memberikan maklum balas sama ada positif atau sebaliknya. Jika sedap dan diterima ramai barulah kami menjadikannya sebagai menu harian,” katanya.

Sajian barat

Dengan lambakan kafe hipster di sekitar Bangi, Little White Cafe mempunyai keistimewaan tersendiri apabila menghidangkan 100 peratus menu masakan barat. Pasta antara hidangan paling popular selain menu lain.

Sesuai harga ditawarkan, cabaran dalam menyediakan makanan barat adalah menjaga kualiti bahan yang perlu disediakan. Untuk itu Abdullah menggunakan bahan basah seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran berkualiti yang dibeli setiap hari bagi memastikan kesegarannya.

Untuk bahagian roti dan kek pula semuanya dibakar pada hari yang sama bagi memberikan rasa enak ketika menikmatinya.

“Berbeza dengan masakan Melayu, hidangan barat memberikan lebih tumpuan kepada setiap bahan. Walaupun tidak banyak rempah ratus digunakan namun kualiti perlu dikekalkan. Jika bahan tidak elok dan kurang segar ia akan menjejaskan rasa makanan. Inilah yang kami perlu jaga agar setiap kali dihidangkan kepada pelanggan ia memenuhi cita rasa mereka,” katanya.

Jelas Abdullah, untuk mencipta konsep tersendiri sama seperti hidangan di hotel, kafenya memperkenalkan pakej makan malam romantik yang menyediakan lima hidangan utama. Menariknya pasangan turut diberikan hadiah bersama sekuntum mawar sebagai lambang kasih sayang.

“Pakej makan malam romantik ini sebagai strategi menarik pelanggan kerana kawasan ini mempunyai 100 peratus penduduk Melayu. Pakej malam malam ala hotel dengan masakan enak dan halal, sudah pasti menjadi tarikan terutama bagi suami atau isteri yang ingin meraikan pasangan hidup mereka,” katanya.

Seronok layan pelanggan

Bagi Nadiah pula menetap di AS selama 10 tahun ketika menyambung pengajian dalam bidang ijazah, sarjana dan doktor falsafah memberikan pengalaman kepadanya untuk menguruskan perniagaan makanan bersama suaminya.

Ijazah doktor falsafah dalam bidang sains biologi dari Duarte California dan perniagaan makanan adalah dua dunia yang sangat berbeza namun apa yang diusahakan kini sangat menyeronokkan.

“Mula-mula memang rasa janggal, kerana selama ini dunia saya hanya membuat kajian di makmal. Namun selepas diberikan peluang oleh suami untuk membantu, lama-kelamaan timbul keseronokan. Apabila ada masa terluang saya akan ke sini membantu suami mengambil pesanan dan menyediakan minuman,” katanya yang turut mempunyai kemahiran memasak.

Kebanyakan pelanggan pula adalah pelanggan tetap yang lama-kelamaan menjadi rakan baik. Bagi pasangan peniaga muda ini, komunikasi sangat penting supaya pelanggan berasa dihargai. Selain itu persekitaran juga memainkan peranan penting untuk menarik mereka datang lagi ke sini.

“Little White Cafe mengekalkan konsep sama seperti di rumah. Dari segi dekorasi dan perabot digunakan amat sinonim dan menarik perhatian. Malah kebanyakan tetamu terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 2:40 PM