AFP

Kapalua, Hawaii: Justin Thomas berjaya menewaskan Hideki Matsuyama untuk menjulang gelaran ketiga Jelajah PGA Amerika Syarikat dengan 69 pukulan pada pusingan terakhir Kejohanan Juara-Juara, semalam.

Thomas yang mencatat empat bawah par memberikannya 22 bawah par 270 keseluruhan dan tiga pukulan mengatasi pemain Jepun Matsuyama yang tiba di Hawaii selepas menjuarai empat daripada lima kejohanan di seluruh dunia.

Malah, Thomas menjadi satu-satunya pemain yang menewaskan Matsuyama sepanjang siri kejohanan terbabit di Kejohanan CIMB Classic di Kuala Lumpur, tiga bulan lalu.

Namun, pemain AS berusia 23 tahun itu perlu melepasi beberapa detik genting dalam sembilan lubang terakhir untuk menewaskan Matsuyama yang memulakan hari kedua di belakang Thomas dan mencatat tiga bawah par 70 untuk 273 pukulan keseluruhan.

Bekas pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Jordan Spieth mencatat pusingan terbaik kejohanan dengan 65 pukulan pada pusingan akhir, mendahului tiga pemain berkongsi tempat ketiga dengan 276 pukulan bersama-sama Pat Perez, yang melakukan 67 pukulan dan Ryan Moore (71).

Juara Terbuka AS Dustin Johnson, Patrick Reed dan Brendan Steele pula ketinggalan satu pukulan.

Thomas mencatat tiga birdie dalam sembilan lubang pertama. Selepas bogey pada lubang ke-10 serta birdie pada lubang ke-11 dan 13, dia mendahului lima pukulan berbanding Matsuyama dengan 22 bawah par.

“Rasa sungguh hebat,” kata Thomas, yang mencatat gelaran pertamanya di AS selepas kemenangan berturut-turut CIMB Classic.

“Saya sebenarnya lebih banyak melakukan kesilapan di beberapa lubang, tapi saya fikir ia membuktikan di mana kedudukan permainan saya ketika ini.

“Saya berdepan masalah tapi masih mampu menyelesaikannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:10 AM