39.2% daripada 328,294 kes dikendali AKPK golongan bawah 40 tahun.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan sejak agensi itu ditubuhkan sehingga November tahun lalu, kira-kira 65 peratus daripada 505,069 pelanggan yang diuruskan masalah kewangan mereka membabitkan penggunaan kad kredit.

Selain kad kredit yang mendominasi perkhidmatan pengurusan kewangan disediakan agensi berkenaan, sebanyak 26.4 peratus membabitkan pembiayaan peribadi dan 26 peratus disebabkan kerugian selepas jualan (LAS).

Pengurus Besar AKPK Nor Fazleen Zakaria berkata, daripada jumlah itu, seramai 167,060 orang daripada mereka dibantu menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK) dengan golongan berusia antara 30 hingga 40 tahun mendominasi sebanyak 39.2 peratus.

Beliau berkata, dari segi pecahan usia yang lain, pelanggan berusia 40 hingga 50 tahun menyumbang sebanyak 29 peratus diikuti 20 hingga 30 tahun yang mencatatkan 15 peratus.

“Mengikut kajian yang kita lakukan, pelanggan AKPK yang berusia 30 hingga 40 tahun mengalami masalah pengurusan kewangan disebabkan mempunyai komitmen yang lebih antaranya kos sara diri ketika berkeluarga.

“Walaupun mereka yang berusia antara 20 dan 30 peratus turut mengikuti program ini tetapi kadar peratusan pembabitan mereka dalam pengurusan kredit yang kita lakukan masih sama dan tidak mengalami peningkatan dari tahun ke tahun,” katanya.

Setakat 30 November 2016, AKPK berjaya membantu 11,935 kes menerusi PPK dengan menyelesaikan sebanyak RM488 juta hutang membabitkan pelbagai isu bebanan kredit dalam kalangan pelanggan.

Dalam kajian dilakukan AKPK mengenai punca masalah kewangan, perancangan kewangan yang lemah menjadi penyumbang terbesar dengan 49.3 peratus, kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (15.2 peratus) diikuti kos sara hidup tinggi sebanyak 12.3 peratus.

Nor Fazleen berkata, orang ramai yang mengalami masalah pengurusan kredit tidak perlu berasa malu untuk hadir mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK memandangkan ia cara yang positif untuk membebaskan diri daripada masalah pengurusan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:03 AM