PENYELARAS Sukarelawan Pasca Banjir Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), Dr Ahmad Mat Yani Muhammad (belakang, dua kiri, baju putih) melihat sebahagian sukarelawan pasca banjir membersihkan sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang turut ditenggelami banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 1, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zuhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Jumlah mangsa banjir di Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan setakat 1 petang, hari ini dengan 4,196 orang.

Jumlah itu berkurang 583 orang berbanding 9 pagi tadi (4,779) dan ditempatkan di lima PPS di Pasir Mas serta tujuh di Tumpat.

Sekolah yang masih ditangguhkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) kerana dijadikan PPS pula berjumlah 12 buah iaitu masing-masing enam di dua daerah berkenaan.

Penyelaras Sekretariat Sukarelawan Pasca Banjir, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Dr Ahmad Mat Yani Muhammad berkata, pihaknya menggerakkan ahli membersihkan sekolah yang sudah ditutup sebagai PPS, hari ini.

"Sebelum ini, proses pembersihan sudah dijalankan berperingkat dengan bantuan agensi keselamatan dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana kita ada sejumlah 73 sekolah yang terjejas akibat banjir.

"Daripada jumlah itu, 65 adalah sekolah yang dijadikan PPS, manakala masih ada 12 lagi yang tidak dapat beroperasi kerana dijadikan PPS," katanya.

Beliau ditemui ketika melakukan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 1 di sini, hari ini.

Mengenai kerosakan dialami sekolah terjejas banjir, katanya, perkara itu masih dalam siasatan selepas semua pengurusan sekolah berkenaan diminta mengemukakan laporan lengkap kepada PPD.

"Penilaian akan dibuat selepas itu untuk laporan ke Kementerian Pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 2:43 PM