KANAK-kanak ini tidur tanpa bantal di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, Tumpat. FOTO Siti Rohana Idris
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Sesi pengajaran dan pembelajaran bagi 7,298 murid dan pelajar di 18 sekolah di negeri ini ditangguhkan esok kerana banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Jaafar Ismail, berkata jumlah itu masing-masing membabitkan tujuh sekolah di Pasir Mas dan 11 sekolah di Tumpat.

Beliau berkata, penangguhan itu berikutan laluan dan kawasan sekolah dinaiki air selain dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir.

"Di Pasir Mas, antara sekolah yang ditangguhkan P&Padalah SK Gual Tinggi, SK Bakong dan SK Gelang Mas.

"Di Tumpat pula antara sekolah yang terbabit termasuk SMK Chabang Empat, SK Pengkalan Kubor 1 dan SK Bendang Pak Yong,"katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus berkurangan kepada 5,518 orang, pada kira-kira 9 malam.

Menurut portal ebanjir Kelantan, semua mangsa membabitkan 1,777 keluarga ditempatkan di 14 PPS di Tumpat dan Pasir Mas.

Daerah Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,605 orang yang ditempatkan di tujuh PPS.

Bagi daerah Pasir Mas, seramai 1,913 mangsa masih ditempatkan di tujuh PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 11:25 PM