Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Anak didik Amy Search, Maishara Fazny Mahadzir (Sarah), 19, mula menyerlah apabila muncul juara minggu pertama dalam persaingan kumpulan A program Mentor Legend.

Dengan mempersembahkan lagu Chandelier dari Sia dan persembahan duet bersama Amy Search dengan lagu Fantasia Bulan Madu, Sarah berjaya menarik perhatian juri profesional, Azmeer dan Adlin Aman Ramli, juri awam dan penonton dengan mengumpul 70 markah, diikuti protege Mas Idayu, Mohamad Farhan Zahi Mohd Zaini (Tuah) dengan 66 markah dan protege Ajai, Mohd Zulfahmi Esmail (Fahmi) dengan 63 markah.

Walaupun penguasaan Sarah dapat dilihat di peringkat awal persaingan dan memberi kelebihan untuknya bersaing pada minggu kedua, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi A Rahman, 55, akui tidak boleh berasa selesa memandangkan segala-galanya boleh berubah sepanjang pertandingan setiap Ahad dan disiarkan secara langsung di TV3, jam 9 malam.

Katanya, dalam pertandingan menguji bakat, tiga elemen penting harus diberi perhatian ialah pemilihan lagu tepat, mesra telinga penonton dan paling utama mampu menyampaikannya dengan baik.

"Dalam menentukan tiga elemen ini, macam-macam boleh jadi. Mungkin saja lagu dipilih tidak diminati atau kurang menonjolkan vokal peserta walaupun ia popular.

"Ia boleh memberi kesan kepada undian, apatah lagi pemarkahan datang dari juri profesional, juri awam dan undian penonton.

"Dalam mempersiapkan protege saya untuk bersaing setiap minggu, tiga elemen tadi harus diberi penekanan. Jika itu dapat dilakukan dengan baik, selebihnya kita harus serahkan kepada penonton dan juga rezeki," katanya.

Walaupun berada pada kedudukan selesa, Sarah juga tidak lepas dari kritikan juri, Adlin Aman Ramli apabila dikatakan menyanyi tanpa jiwa dan wajah kosong.

Kata Amy, sebagai penyanyi amatur yang masih mentah dan kurang pengalaman, tentu banyak elemen membabitkan persembahan belum diketahui.

"Sarah kaya bakat sehingga dia sendiri tidak tahu yang dia memilikinya. Untuk membentuk bakat menjadi sempurna mengambil masa. Begitupun, saya cuba lakukan satu persatu, ibarat memetik suiz.

"Walaupun berada pada kedudukan selesa, selaku mentor, tentu saya harus memasang strategi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada protege saya," katanya.

Kata Amy, dia mempunyai kru diketuai isterinya, Nourish untuk memastikan perjalanan Sarah berdepan persaingan berjalan lancar.

"Sudah tentu strategi perlu ada dan pada saya, pemilihan lagu mesti tepat. Situasi pertandingan bakat sekarang sangat berbeza berbanding saya dulu.

"Bayangkan waktu saya bersaing di Battle Of The Band, kami boleh membawakan lagu yang tidak popular tetapi jika kami mempersembahkannya dengan baik, orang akan suka dan menganggap ia seperti lagu kami sendiri dan mampu muncul juara.

"Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh diamalkan sekarang. Memilih lagu kurang popular dan tidak mesra pendengar ibarat menabur pasir ke periuk nasi sendiri.

"Seperkara lagi, lagu yang mahu dipersembahkan juga harus sesuai dengan tona suara Sarah. Kalau lagu popular tetapi tidak sesuai dengan tona suara pun tidak boleh juga," katanya.

Mengenai masa depan Sarah apabila Mentor Legend tamat, kata Amy, buat masa ini dia tiada perancangan, malah tidak memaksa peserta berasal dari Kuala Lumpur itu menandatangani kontrak sebagai artis rakaman mahupun pengurusan.

"Perkara seperti ini saya tidak suka paksa kerana ini membabitkan masa depannya. Biar dia buat keputusan sendiri supaya selesa untuk membina kerjaya pada masa depan.

"Saya memberi kebebasan sepenuhnya kepada Sarah tetapi jika dia mengambil keputusan untuk terus berada dengan saya dan Nourish, tentu kami menerima dengan tangan terbuka dan cuba melakukan yang terbaik untuknya.

"Sarah juga bukan berasal daripada keluarga senang. Dia ada 15 adik-beradik dan tentu menjadi impiannya untuk membina hidup keluarganya menerusi kerjaya sebagai penyanyi.

"Saya selaku mentor bersedia membantunya mengejar cita-citanya kerana Sarah ada bakat," katanya.

Bagi Sarah pula, mendahului dua lagi peserta lain dalam kumpulan A tidak bermakna dia boleh berasa lega kerana perkara itu membuatkan ramai pihak meletakkan harapan tinggi terhadap bakatnya.

Sarah juga menerima kritikan juri profesional sewaktu persaingan minggu pertama dengan positif. Katanya, dia turut membincangkan perkara itu dengan mentornya.

"Itu antara kekurangan yang saya sedar apabila menyertai Mentor Legend. Saya akan perbaiki persembahan nanti apabila dikritik saya tidak punya emosi pada wajah sewaktu menyanyi," katanya.

Sarah juga meluahkan rasa bertuah apabila dipilih Amy sebagai anak didik walaupun pada peringkat pemilihan protege tempoh hari, penyanyi 'otai' itu memilih seorang lagi peserta.

"Saya memang mengharapkan dapat bekerja dengan penyanyi berpengalaman seperti Amy. Saya mahu belajar banyak perkara daripadanya.

"Sepanjang pertandingan ini, saya langsung tidak rasa tertekan dengan Amy sebab dia sentiasa tenang. Setiap minggu mengadakan sesi latihan, Amy juga sangat sabar dengan saya.

"Saya terharu kerana Amy meletakkan keyakinan tinggi atas bakat yang saya miliki. Dia selalu mengingatkan saya untuk mencabar diri sendiri supaya lebih yakin beraksi di pentas," katanya.

Sementara itu, dalam Konsert Battle 1: Kumpulan B Ahad lalu, protege Ella, Aina menjuarai Kumpulan B dengan 74 markah, diikuti protege Zainalabidin, Nadeera (66) dan protege Dayang Nurfaizah, Azmil (50).

Aina mempertaruhkan lagu Sesal Separuh Nyawa untuk persembahan solo manakala duet lagu A Woman's Worth, Nadeera memilih lagu Kerna Ku Sanggup dan Don't Stop Believing manakala Azmil, Seribu Tahun dan Happy & Get Lucky.

Malam ini menyaksikan pertarungan Kumpulan A untuk minggu kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:08 AM