GOL Dele Alli (dua dari kiri) ketika menentang Chelsea.

London: Tottenham Hotspur bermain dengan lebih matang dan terkawal musim ini dan semua itu menjadi kunci untuk peluang mereka menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris, kata pemain tengah Mousa Dembele selepas pasukannya menewaskan pendahulu Chelsea 2-0 Khamis lalu.

Kemenangan Spurs menamatkan siri 13 kemenangan buat Chelsea dan melonjakkan mereka ke tangga ketiga, tujuh mata di belakang pendahulu.

Chelsea bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk seri 2-2 dengan Tottenham di Stamford Bridge Mei lalu, menamatkan harapan Spurs mengejar juara Leicester City namun Dembele berkata apa yang pasti pasukannya semakin meningkat.

“Itulah perbezaan di antara dulu dan sekarang. Sebelum ini dan juga tahun sebelumnya, kami menjaringkan gol dan mengubah rentak permainan, kami cuba bermain dengan gaya berbeza, kami lebih panik dan hari ini kami lebih dewasa, lebih tenang,” katanya.

“Bolehkah Spurs mengejar Chelsea? Saya tidak terfikir mengenai perkara ini. Ia hanyalah perlawanan demi perlawanan dan dengan kualiti yang kami ada, kami lakukan apa yang kami mahu.”

Tottenham menang lima perlawanan berturut-turut dan mempunyai rekod pertahanan terbaik Liga Perdana.

“Kami bermain dengan baik dalam beberapa perlawanan terakhir dan dengan keyakinan mulai hari ini, kami boleh mempunyai rekod yang baik dan apa saja boleh berlaku,” kata Dembele.

Spurs berdepan Aston Villa pada pusingan ketiga Piala FA esok sebelum kembali ke liga untuk menentang West Brom 14 Januari ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:13 AM