DIGILAI sampai sekarang.
Susunan Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Kehadiran boyband Inggeris-Ireland, One Direction atau 1D sejak 2010 benar-benar mengubah dimensi budaya pop lantaran dapat mengembalikan semula kegemilangan boyband. Band dianggotai Niall Horan, Liam Payne, Harry Styles, Louis Tomlinson dan Zayn Malik itu jelas membawa satu revolusi besar.

Mana tidaknya, satu dunia menggilai 1D sehingga saat ini bukan saja disebabkan ketampanan setiap anggota tetapi bakat luar biasa mereka. Berbekalkan aura dan keistimewaan tersendiri, band ini mencipta legasi yang dahsyat.

Puluhan lagu mereka tidak pernah gagal di carta muzik bahkan sepanjang tempoh kerjaya, begitu banyak pengiktirafan dibolot boyband itu.

Selain kontroversi demi kontroversi yang tercetus, keputusan Zayn keluar daripada kumpulan itu pada 2015 menjadi antara berita paling mengecewakan jutaan peminat mereka di seluruh dunia.

Buat masa ini mereka sedang berehat dan empat anggotanya masing-masing cuba memberi fokus kepada karier solo pula. Berikut BLING! senaraikan 10 fakta menarik mengenai boyband kesayangan ramai itu.

1. Tidak kenal sesama sendiri

Bagi yang mengikuti perjalanan 1D sejak awal, pastinya tahu kelima mereka tidak kenal pun sesama sendiri sehinggalah menghadiri uji bakat The X-Factor UK pada 2010. Pada uji bakat berkenaan, semua anggotanya hadir sebagai penyanyi solo dan produser terkenal, Simon Cowell yang bertanggungjawab menggabungkan mereka berlima.

2. Pecah rekod The Beatles

Nampak saja 1D tampil dengan karya ringkas dan santai akan tetapi pencapaian lagu mereka di carta hebat sangat mengagumkan. Terutama pada 2015 apabila tampil dengan album Made in the A.M. Dua lagu mereka, Perfect dan Drag Me Down ditambah Live While We’re Young, Best Song Ever dan Story of My Life dari album sebelumnya tersenarai dalam Top 10 carta Hot 100. Ini sekali gus memecahkan rekod The Beatles yang hanya ada empat lagu mampu melakukan rekod itu.

3. Kaut lebih 160 anugerah

Dalam mana-mana pencalonan anugerah, nama 1D memang tidak akan pernah tercicir menang sebarang anugerah. Hakikatnya, rekod pencalonan mereka dalam pelbagai acara anugerah hebat sangat luar biasa dengan 324 keseluruhannya. Dalam jumlah itu, 1D berjaya menang 166 daripadanya!

4. Cipta lagu sendiri untuk album

Jika ada yang menyangkakan 1D hanya sekadar bersandar kepada khidmat komposer lain untuk tulis lagu dalam album, jangkaan anda meleset. Bakat penulisan lagu mereka jelas sangat hebat dan tidak pernah gagal menulis beberapa karya dalam album sendiri. Dalam album Take Me Home, dua lagu ditulis anggotanya manakala 12 daripada 14 lagu dalam Midnight Memories hasil sentuhan mereka.

5. Cipta lagu untuk artis lain

Bukan sekadar yakin menulis lagu untuk nyanyian sendiri, anggotanya, Harry juga antara komposer rebutan beberapa penyanyi bernama besar lain. Setakat ini, antara penyanyi yang meminta khidmatnya adalah Ariana Grande, Meghan Trainor, Gavin DeGraw, dan Alex 7 Sierra.

6. Kos persembahan mahal

Benarlah kata ramai penganjur, untuk mendapatkan 1D membuat persembahan bukan tugas mudah. Terutama daripada segi bayaran pastinya ramai berputih mata jika dimaklumkan berapa kos untuk persembahan 1D. Sedangkan untuk gig kecil, bayaran minimum ditetapkan adalah RM166,000 (30,000 Pound Sterling).

7. Ritual sebelum persembahan

Setiap penghibur ada ritual yang tersendiri apabila menakluk pentas. Kebanyakannya selalu membuat pemanasan vokal mahupun fizikal demi meningkatkan keyakinan. Berbeza buat 1D, mereka sebaliknya menggunakan pendekatan mengunyah gula-gula Haribo. Mereka mengakui ia memberikan mereka perasaan seperti minum alkohol dan membawa tuah.

8. Suka tidur dalam bas jelajah

Biasanya superstar akan begitu memilih dalam hal tempat tidur setiap kali mengadakan siri jelajah. Siapa tidak mahu tinggal di hotel yang sangat selesa selepas penat beraksi di pentas bukan? Tetapi tidak buat 1D. Anggotanya ternyata lebih memilih untuk tidur dalam bas khas yang disediakan sepanjang jelajah berbanding hotel.

9. Inspirasi daripada Spice Girls

Siapa tidak kenal kumpulan wanita legenda Spice Girls? Menurut penata gaya kepada 1D iaitu Watson, dia mengambil inspirasi perbezaan identiti anggota Spice Girls dan diaplikasikan kepada boyband berkenaan. Sangat menarik kerana hakikatnya ia menjadi meskipun mungkin identiti itu lebih kepada karakter anggota 1D berbanding penampilan fizikal mereka.

10. Pemurah, aktif beramal

Nampak saja terlalu sibuk seperti tiada masa untuk aktiviti seperti siri jelajah konsert, promosi, penampilan dalam anugerah dan penggambaran tetapi 1D antara artis besar yang tidak pernah lupa beramal. Pada 2013, boyband terbabit menjadi pemuzik kedua terbanyak menyalurkan derma selepas Taylor Swift manakala pada 2014, 1D menjadi personaliti keenam paling dermawan di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:03 AM