KASUT tapak leper motif batik dengan hiasan rumbai di depan.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Hasil tenunan songket dan batik canting kerap menjadi pilihan untuk ke majlis formal, undangan perkahwinan serta menghadiri keraian besar. Meskipun hanya sebagai pelengkap busana mewah, sentuhan seni tradisional Melayu ini berupaya menyerlahkan keanggunan pemakai.

Hari ini, songket dan batik canting terus disanjung ramai. Songket tradisional masih kekal sebagai persalinan diraja, dijadikan busana pengantin dan gaun mewah untuk majlis tertentu. Manakala batik canting pula kian menarik perhatian ramai pereka antarabangsa untuk menumpahkan karya masing-masing.

Terbukti peredaran fesyen semasa tidak sedikit pun menjejaskan potensi songket dan batik canting Malaysia. Malah, busana rekaan daripada hasil tenunan ini juga kerap menjadi antara buah tangan yang dinanti setiap kali pertunjukan antarabangsa termasuk di bandar raya fesyen, Milan.

Tahun ini, taburan songket dan batik canting menjadi antara fokus pembuka tirai fesyen 2017. Gaya klasik songket dengan corak bunga tabur dilihat menjadi pilihan ramai pereka tempatan dan antarabangsa untuk mengembangkan bakat fesyen.

Bagi pereka kasut muda, Shafinaz Wahid, songket dan batik sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri, apatah lagi jika dipadankan dengan gaya moden sofistikated atau busana polos.

“Tidak kira songket atau batik, kedua-duanya memang cantik dan sesuai digayakan sepanjang zaman. Cuma orang kita sering beranggapan pemakaian songket dan batik hanya untuk majlis formal. Atas sebab itulah saya nekad mengangkat rekaan kasut bermotifkan songket dan batik dengan gaya lebih kasual.

“Saya mahu motif tradisional ini terus berkembang seiring perubahan semasa sekali gus mencetuskan fenomena baru dalam penggayaan fesyen harian wanita,” katanya.

RAMALAN 2017

Melihat kepada pantasnya perubahan dalam fesyen terkini, Shafinaz yakin 2017 akan mengetengahkan gaya klasik, unik dan berani sebagaimana yang pernah popular sekitar zaman 1970-an sehingga 1990-an.

“Pengaruh sepatu platform, stiletto dan ‘peep toe’ dijangka terus berkembang dengan elemen futuristik. Bahagian depan sepatu agak rencam dengan hiasan berkilau, tatahan permata, manik dan labuci.

“Tumit bersaiz dempak, penggunaan fabrik kulit berkilat dengan gabungan aksesori lebih besar dan menonjol dijangka menjadi antara perincian popular tahun ini. Begitupun, keunikan sepatu masih mengekalkan sentuhan elegan dan terkini,” katanya.

SEPATU KE MILAN

Terlanjur mengete­ngahkan rekaan di Minggu Fesyen Milan September sebelum ini, Shafinaz meneruskan karya motif song­ketnya dengan visi mahu ‘merakyatkan’ seni tenunan tradisional Melayu dalam kalangan penggemar fesyen tempatan.

Memilih padanan fabrik rona emas dan perak sebagai kemasan, setiap sepatu rekaan Shafinaz lengkap dengan pakej selesa, bergaya, moden, klasik serta sofistikated. Kilauan fabrik bermanik pada bahagian depan sepatu diberi perincian khusus untuk menaikkan seri pemakai.

“Fokus saya adalah kepada sepatu jenis baji, bertumit tinggi dan leper. Motif songket pula terdiri daripada corak penuh, bu­nga tabur, susunan bercorak dan tenunan moden. Semua rekaan dalam warna hitam berkilat, merah gelap dan hijau zamrud,” katanya.

Selain rekaan songket, Shafinaz juga mengete­ngahkan sepatu dari fabrik batik canting di Milan. Meng­angkat penguasaan warna terang dan menyerlah, koleksi batik Shafinaz ini sesuai untuk wanita yang gemarkan elemen eksklusif ketika mengenakan busana ringkas.

“Koleksi tumit tinggi batik canting sangat elegan untuk digayakan tidak kira sama ada ke pejabat, majlis formal, keraian mahupun kasual. Warnanya bukan setakat menyerlahkan penampilan pemakai, tetapi boleh menonjol­kan karakter seseorang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:02 AM