Mangsa banjir, Halim Yaakub, 49, bersama isteri, Mahanom Mat, 42, dan anaknya, Muhd Hakim, (duduk), Hadika,17, hampa apabila rumahnya masih lagi di penuhi air sedalam 0.5 meter apabila pulang ke rumah mereka di Kampung Kubang Chenok. Ketika air Sungai Golok melimpah pada 01 Januari lalu rumahnya ditenggelami air sedalam 1.5 meter. FOTO Fathil Asri
Isma Ismail dan Muhamaad Razis Ismail
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menurun kepada 12,754 orang pada 9 malam berbanding 13,129 orang, jam 6 petang tadi.

Menurut portal eBanjir Kelantan, 4,572 keluarga ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara ( PPS) di Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Daerah Pasir Mas masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 8,706 orang membabitkan 3,286 keluarga ditempatkan 21 PPS.

Mangsa di Tumpat merekodkan 4,021 orang ditempatkan di tujuh PPS.

Manakala di Pasir Puteh, jumlah mangsa semakin menurun kepada 27 mangsa.

Bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang terus menurun daripada 9.76 meter (m) kepada 9.68m.

Sementara itu, di Terengganu, jumlah mangsa banjir dipindahkan masih kekal dengan 1,108 orang daripada 283 keluarga di tujuh pusat pemindahan pada 9 malam ini.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu.gov.my, kesemua mangsa di empat daerah yang masih dibuka pusat operasi kekal seperti petang tadi.

Kawasan Kuala Terengganu/Kuala Nerus masih terdapat tiga pusat pemindahan dengan 826 mangsa daripada 202 keluarga iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemuroh (116 mangsa/36 keluarga), SK Banggol Peradong (347 mangsa/83 keluarga) dan SK Bukit Guntung (363 mangsa/83).

Di Dungun pula, terdapat 216 mangsa daripada 63 keluarga di dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Sivik Paka (32 mangsa/7 keluarga) dan SK Durian Mentangau (184 mangsa/56 keluarga).

Jumlah mangsa di pusat pemindahan di Surau Kampung Nyatoh, Setiu kekal dengan 27 orang daripada lima keluarga dan seramai 39 orang daripada 13 keluarga di SK Pasir Putih, Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 10:28 PM