KAMAL nafi bercinta dengan Emma.
KAMAL doakan Emma bahagia dengan Zizan.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Dihimpit dakwaan menjalin hubungan mesra bersama kekasih hati Zizan Razak iaitu Emma Maembong, sangat menggelikan hati pelakon kacak, Kamal Adli.

Gosip yang mula didedahkan dalam ruangan CAK, Ahad lalu, mendapat perhatian bukan saja Zizan dan Emma, malah banyak pihak lain.

Ada yang mendakwa Kamal terlalu terdesak mencari pengganti selepas berpisah dengan pelakon Intan Ladyana.

Kehadiran Kamal di majlis prebiu filem Cerita Hantu Malaysia, baru-baru ini, menjadi perhatian media untuk mendapatkan kenyataannya. Bagaimanapun, ramai kecewa apabila Kamal menghilangkan diri sebaik selesai tayangan filem arahan Pierre Andre itu.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Khamis lalu, Kamal menafikan dia dalam keadaan terdesak mencari pengganti hingga digosipkan dengan Emma.

"Tidaklah sampai terlalu terdesak mencari pengganti sampai nak rampas kekasih orang lain," katanya ketawa.

Kamal akui kadangkala cerita sengaja direka pihak tertentu untuk mengusik dirinya atau Zizan yang tidak pernah mempunyai masalah.

Kebetulan dia dan Emma kini sama-sama berlakon drama Cinta Tanpa Syurga arahan Michael Ang. Drama bersiri itu mendapat perhatian sejak bersiaran di TV1 setiap Sabtu dan Ahad, jam 7 malam bermula 28 September lalu.

"Ini gosip paling comel yang saya dengar untuk menutup tirai 2014. Saya dan Emma tidak ada apa-apa hubungan cinta selain rakan sekerja di set drama itu.

"Selepas apa yang berlaku dalam hubungan lalu, saya sebenarnya menerima hakikat dan tidak mahu lagi hidup dalam kenangan lama," katanya.

Selain tidak mahu mengenang atau mengungkit kisah silam, Kamal hanya menitipkan sedikit kata-kata buat mantan kekasih.

Katanya, dia mendoakan yang terbaik untuk Intan dan jika dia menemui pengganti, sebagai lelaki yang pernah berada di hatinya sebelum ini, Kamal berharap penggantinya lebih mengambil berat dan menjaga hati Intan.

"Biarpun 2014 perit buat saya dari segi hubungan cinta, saya bersyukur sebab dari sudut kerjaya, tawaran berlakon belum putus.

"Saya cuma berharap tahun depan (2015), rezeki dan perjalanan hidup saya akan lebih baik dalam soal kerjaya dan peribadi," katanya.

Kamal yang kini sibuk dengan penggambaran drama Pergilah Airmata tanpa berselindung berkata, buat masa ini dia belum bersedia mencari cinta baru kerana percaya sekarang adalah masa untuk bermuhasabah mencari kebahagiaan diri dan fokus pada kerjaya terlebih dulu.

Baginya, cepat atau lambat jodohnya tidak kisah kerana percaya ia rahsia Allah dan sebagai hamba, dia perlu akur.

"Biar dia (Intan) temui jodoh dulu. Saya nak fokus apa yang patut dan perbetulkan diri sendiri. Harapan saya, tahun depan biar saya lebih banyak senyum dan gembira bercakap mengenai kerjaya," katanya.

Kamal juga mempertaruhkan filem terbaru lakonannya, Cerita Hantu Malaysia yang mula ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu.

Katanya, bekerja dengan Pierre satu penghormatan walaupun sedar filem itu bukan berbajet besar dengan bayaran lumayan.

"Pierre mudah dibawa berbincang dan senang bekerjasama. Sebelum ini saya pernah bekerja dengan Pierre dalam filem Apartmen dan terbaru, Cut.

"Walaupun industri filem mengalami penurunan dari segi kutipan, saya percaya penerbit masih mempunyai kepercayaan untuk melabur, cuma pada jumlah kecil.

"Syukur sebab masih diberi kepercayaan berlakon filem walaupun situasi industri tidak segah dulu. Saya berharap peminat terus menyokong filem Melayu supaya industri filem tempatan tidak mati," katanya.

Tahun 2014, selain Cerita Hantu Malaysia, Kamal turut berlakon dalam filem MTB: Misi Tawan Baby, November lalu.

Tahun depan, Kamal bakal beraksi sekali lagi di bawah arahan Syafiq Yusof melalui filem aksi komedi Abang Long Fadil 2 yang dijangka menjalani penggambaran pada suku pertama 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:08 AM