PENGARAH KPDNKK Perak, Saifullizan Kamarul Zaman (kiri) bersama Suhaimi (tengah) memeriksa 389 tong plastik terpakai. FOTO Muhaizan Yahya
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak menyerbu syarikat pembungkus di Kampung Perindustrian Kampung Boyan, Taiping di sini kerana melakukan kesalahan menggunakan tong minyak masak terpakai, semalam.

Dalam serbuan 8.30 pagi, sejumlah 389 tong plastik berisi 6,613 kilogram (kg) minyak masak turut dirampas.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Perak Suhaimi Mat Sari berkata, hasil daripada maklumat orang awam serta risikan pegawai penguatkuasa KPDNKK negeri selama seminggu, pihaknya melakukan serbuan di premis berkenaan.

Katanya, premis berkenaan dipercayai mengedar minyak masak berkenaan kepada pengilang di sekitar kawasan Taiping dan Sungai Siput.

"Ketika serbuan dijalankan, lelaki berusia 61 yang mengaku pengarah syarikat sedang mengarahkan pekerjanya untuk memindahkan semua tong terbabit ke dalam lori sebelum diedarkan kepada pengilang.

"Siasatan awal mendapati premis itu mempunyai lesen minyak masak yang tempoh masih sah dan kuota mintak masak diberikan adalah 280 tan sebulan," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Suhaimi berkata, susulan serbuan itu, lelaki terbabit ditahan untuk membantu siasatan.

"Jumlah minyak masak yang disita adalah sebanyak 6,613 kg dengan nilai rampasan berjumlah RM25,856.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 21 Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 3:22 PM