MEDIUM percetakan turut dikemas kini.
ARCA tidak ketinggalan dipamerkan.
KARYA Alfredo Esquillo Jr berjudul ‘Whisper to a Scream’.
JAILANI menerusi karyanya Halal.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Masyarakat di setiap negara mengamalkan tradisi dan budaya tersendiri seperti Malaysia yang diwakili pelbagai bangsa termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan Iban.

Kepelbagaian ini menyimpan nilai estetika yang sewajarnya dikongsi seluruh dunia bagi membolehkan masyarakat tempatan dan antarabangsa mengenali lebih mendalam budaya berkenaan.

Justeru, penganjuran pameran ‘SEMANGAT X: Visual Expressions of Southeast Asian Identity’ bakal memperlihatkan unsur dan nilai dari tradisi untuk dikongsi bersama penduduk di Asia Tenggara.

Hasil karya 24 artis terkemuka dari 10 negara ASEAN memaparkan identiti unik masing-masing yang terbentuk daripada sentuhan berbilang budaya, sosial dan politik.

Meskipun memiliki fizikal, politik, sosial dan budaya yang berbeza, garapan seni mampu membina identiti serantau bagi memperlihatkan ‘Satu Asia Tenggara’.

Pengunjung bakal menyaksikan karya dihasilkan artis dari Vietnam, Thailand, Kemboja, Laos dan Brunei dengan pelbagai penggunaan media seperti akrilik, cat minyak, cetakan dan campuran di atas kanvas, kayu, jut serta papan lapis.

Pameran yang berlangsung di Galeri PETRONAS ini meraikan kepelbagaian landskap, budaya, tradisi dan sistem kepercayaan melalui lukisan, instalasi, fotografi, videografi dan arca.

Antara artis yang terbabit dalam pameran ini adalah Ahmad Shukri Mohamed, Ahmad Zakii Anwar, Chan Kok Hooi, Hamir Soib, Jalaini Abu Hassan, Zulkifli Yusoff, Pengiran Timbang, Sopheap Pich, Heri Dono, Krisna Murti, Yunizar, Marisa Darasavath, Aung Kyaw Htet, Nge Lay, Alfredo Esquillo Jr dan Geraldine Javier.

INFO

• ARTIS: Berkumpulan 24 artis

• JUMLAH KARYA: 34

• LOKASI: Galeri PETRONAS, Level 3, Suria KLCC

• TARIKH: 23 November 2016 hingga 15 Januari 2017

• MASA: 10 pagi hingga 8 malam

• TELEFON: 03-2051 7770

• WEB: www.galeripetronas.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 11:40 AM