BEG tahun 1960-an masih berfungsi dengan baik.
PAPAN tanda berusia lebih 50 tahun.
MOTOR mini yang dibuat daripada tin minuman Milo.
KOLEKSI cawan kopitiam yang bernilai tinggi.
CAWAN kertas dan plastik masih disimpan Mohd Yusof.
MOHD Yusof menunjukkan tin Milo 1960-an yang menjadi koleksi berharganya.
PLASTIK Milo turut disimpan Mohd Yusof.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Bagi sesetengah orang, tin, koleh, cawan, botol, beg, alat mainan, baju, jam, poster, papan tanda dan apa saja barangan berjenama tertentu dijadikan koleksi menarik.

Mungkin ada yang menganggap barangan seperti itu tidak bernilai malah dibuang begitu saja kerana tidak mahu ‘menyemakkan’ rumah.

Bagaimanapun, buat pengumpul barangan seperti itu terutama untuk jenama khusus seperti Milo, memiliki koleksi barangan itu amat bernilai meskipun hanya cawan kertas atau tin lama.

Barangan itu terutama keluaran terhad dan edisi khas adalah yang paling dicari pengumpul barangan Milo dari seluruh dunia.

Keunikan pada barangan Milo terletak pada keluarannya yang berbeza setiap tahun dan negara sejak jenama minuman coklat terkenal itu mula dikeluarkan pada 1930-an.

Hobi mengumpul barangan Milo dikongsi seorang pemuda dari Klang, Selangor, Mohd Yusof Ali, 37, yang mula menghimpun koleksinya sejak hampir 10 tahun lalu.

Sehingga hari ini, sudah lebih 500 jenis tin, botol, koleh, beg dan pelbagai barangan minuman Milo berada dalam koleksi Mohd Yusof yang tersusun rapi dalam rak di rumahnya.

Ruang tamu rumah Mohd Yusof dijadikan galeri koleksi Milo dan seluruh dinding ruang itu dihiasi beraneka poster, papan tanda dan bidai lama keluaran Milo.

Sekali pandang, rumahnya tidak ubah seperti muzium penyimpanan barangan Milo dengan pelbagai koleksi lama dan baru memenuhi segenap ruang tamu termasuk koleksi antik cawan kopitiam Milo edisi terhad.

Menurut Mohd Yusof, minat mengumpul barangan Milo bukan sekadar hobi tetapi menyimpan nostalgia bersama arwah bapanya ketika dia bersekolah.

“Arwah bapa saya berniaga kedai runcit semasa saya bersekolah dan apabila barangan Milo dihantar oleh pembekal ke kedainya, banyak barangan percuma Milo seperti kotak pensel, cawan dan bekas minuman diberikan.

“Jadi sejak itu saya sudah terbiasa dengan barangan atau hadiah percuma Milo. Memang ia barangan lama yang menyimpan banyak kenangan manis zaman kanak-kanak untuk diimbas kembali,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Nilai kenangan

Menurutnya, semua koleksinya adalah hasil pengumpulannya sendiri mahupun dibeli dari komuniti pengumpul barangan itu dan setakat ini koleksinya adalah keluaran negara ini saja.

Minat Mohd Yusof turut dikongsi bersama isteri, Zaiton Sulaiman yang sering memberi sokongan kepadanya dan ada kalanya turut membelikan koleksi barangan Milo untuknya.

Katanya, walaupun keseluruhan ruang tamu dipenuhi barangan Milo, isterinya tidak kisah dan disebabkan itu tiada masalah bagi wanita itu untuk sama-sama memastikan rumah mereka sentiasa kemas dan teratur.

Menjadikan rutin setiap bulan untuk mengelap kotoran dan habuk pada koleksinya, Mohd Yusof tidak sekali pun berasa terbeban malah berasa seronok melihat koleksinya sentiasa bersih dan nampak baru meskipun ada barangan yang sudah berusia lebih 50 tahun.

“Koleksi paling antik yang saya miliki adalah beberapa tin Milo yang dikeluarkan pada 1960-an yang ketika itu tidak dipanggil minuman coklat sebaliknya minuman tonik,” katanya.

Pernah ditawarkan RM3,000 oleh seorang rakan yang mahu membeli koleksi cawan Milo kopitiamnya, Mohd Yusof menolak tawaran itu kerana menganggap koleksinya itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit serta mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

“Barangan yang dikumpul ini adalah tanda kasih sayang dan memori dalam hidup saya. Saya tidak akan menjualnya walau dengan apa harga sekalipun,” katanya yang berhasrat mewujudkan sebuah galeri untuk mempamerkan koleksinya suatu hari kelak.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini juga berkata, hobinya itu turut dikongsi bersama komuniti laman sosial Facebook dan melalui medium itu, mereka berkongsi maklumat dan bertukar pendapat.

Katanya, sehingga kini mereka hanya berhubung melalui laman sosial itu kerana masih baru ditubuhkan namun dia bersama pengumpul lain ada merancang untuk melakukan aktiviti luar bersama untuk mengeratkan silaturahim.

“Sepanjang tempoh ini, saya sudah membelanjakan kira-kira RM30,000 termasuk membeli rak pameran dan barangan Milo yang sukar didapati.

“Tidak dinafikan, keluarga dan rakan yang berkunjung ke rumah saya biasanya terpegun melihat koleksi yang saya miliki dan ada antaranya teruja kerana banyak koleksi yang dapat mengimbau kenangan kanak-kanak mereka.

“Pada 1980-an, Milo amat terkenal di seluruh negara dan orang hidup pada zaman itu pastinya dapat mengimbau kembali kenangan lori atau van Milo yang datang ke sekolah mengedarkan minuman percuma. Memori itu yang membuatkan saya terus bersemangat untuk menjadikan ia sebagai hobi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 11:05 AM