HARRIS
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Penyanyi lagu Katakan, Harris Baba, 25, kini berdebar menunggu kelahiran bayi sulungnya yang dijangka dilahirkan pada 10 Februari ini.

Kandungan isterinya, Nik Naziha Nik Nawawi, 22, kini memasuki usia lapan bulan dan persiapan menyambut cahaya mata mereka semuanya sudah siap.

Menurut penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura ini, mereka sudah melakukan imbasan jantina bayi namun Harris mahu merahsiakannya dulu daripada peminat.

“Saya sudah tahu jantina bayi tetapi biarlah saya umumkan selepas isteri bersalin. Alhamdulillah, isteri dan bayi dalam kandungan sihat. Nik akan bersalin di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

“Oleh kerana ini anak sulung, kami tiada pengalaman untuk menjaga bayi dan saya lega kerana isteri akan dijaga mentua. Jika saya ada kerja di Kuala Lumpur, tidaklah saya bimbang meninggalkannya dan bayi,” katanya.

Menurut Harris, sepatutnya mereka pulang ke Kota Kinabalu Isnin ini tetapi kerana dia masih ada komitmen dengan sebuah telefielm, mereka akan pulang ke sana pertengahan bulan ini.

“Selain penggambaran telefilem, saya juga perlu melunaskan beberapa penggambaran dengan pihak televisyen dan sesi fotografi dengan akhbar serta majalah. Selesai semuanya, baru saya dapat bercuti panjang untuk menemani isteri sehingga dia bersalin sebelum kembali ke Kuala Lumpur memulakan projek baru.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar menantikan kelahiran bayi kami kerana ia juga tanda cinta kami berdua,” katanya yang bernikah dengan Nik pada 13 Mei tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 8:55 AM