GOH
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Petaling Jaya: GCH Retail (M) Sdn Bhd, pengendali rangkaian pasar raya besar Giant terus mempergiatkan strategi pemasarannya menerusi pelbagai kempen promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung pada tahun ini.

Pengarah Pemasarannya, Saki Goh berkata, tumpuan diberikan dengan mengadakan lebih banyak kempen promosi membabitkan musim perayaan utama di negara ini.

Beliau berkata, Giant sebagai rangkaian pasar raya besar yang menjual pelbagai produk mengutamakan pelanggan dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti di samping pengalaman membeli-belah lebih selesa.

“Kami memberi tumpuan dalam kempen promosi yang dilihat tunjang utama dalam strategi pemasaran Giant pada tahun ini dan berharap menarik lebih banyak pengunjung,” katanya selepas perasmian kempen Tahun Baru Cina di sini, semalam.

Sempena kempen itu, Giant menawarkan promosi menarik yang berlangsung sejak 29 Disember tahun lalu hingga 27 Januari ini kepada pengunjung setia pasar raya besar berkenaan.

Menurutnya, sempena kempen sama, Giant julung kali turut memperkenalkan pakaian tradisional sempena musim perayaan dan menampilkan rekaan kasual serta santai dengan harga berpatutan.

Katanya, musim perayaan adalah masa orang ramai berbelanja dan kempen berkenaan tepat pada masa dengan kelebihan promosi, diskaun, ganjaran hebat serta program penebusan istimewa.

“Malah, pemegang kad kredit Visa berpeluang memenangi hadiah lumayan termasuk Hyundai Starex Royale apabila menyertai pertandingan Berbelanja dan Menang Visa serta hadiah sagu hati baucar beli-belah Giant bernilai RM100,” katanya.

Mengulas mengenai sektor peruncitan tahun ini, beliau berkata, pertumbuhan sektor itu dijangka sedikit perlahan, namun pihaknya sentiasa mengambil langkah mengekalkan pelanggan sedia ada.

“Kami faham ketika ini ekonomi sedikit tidak menentu, tetapi akan terus mempelbagaikan inisiatif menawarkan produk terbaik dan berkualiti kepada semua pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 7:20 AM