Mayat mangsa yang ditemui terkena renjatan elektrik.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Kampar: Seorang lelaki ditemui maut terkena renjatan elektrik di rumahnya di belakang Pasar Malim Nawar, Kampar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, mangsa Chai Teik Kean, 25, ditemui dalam keadaan berdarah di bahagian kepala, mulut dan hidung serta terdapat wayar bersambungan berdekatan mangsa.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ng Kong Soon berkata, kejadian disedari bapa mangsa selepas anaknya yang berada di dalam bilik tidak menjawab panggilannya dari luar.

Katanya, bapanya kemudian memasuki bilik berkunci itu dengan memanjat bahagian atas bilik bersebelahan sebelum menemui anaknya dalam keadaan tertiarap di atas lantai.

"Tiada senjata tajam ditemui di tempat kejadian dan mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan oleh renjatan elektrik dan mayat mangsa sudah dituntut bapanya untuk dikebumikan," katanya.

Kong Soon berkata, setakat ini hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 5:08 PM