KUMPULAN Fnatic (kiri) dan WG Unity. FOTO Fnatic, WG Unity
Hazril Md Nor
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua pasukan e-sukan negara, Fnatic dan WG Unity sudah bersedia menyahut cabaran Kejohanan ESL One Genting 2017 di Arena of Stars, Resorts World Genting, esok.

Pengurus Fnatic, Khor Wei Soon, 28, menyifatkan pertandingan kali ini penuh debaran berikutan kehilangan tiga pemain luar baru-baru ini.

"Kami sudah pun mencari pengganti bagi ketiga-tiga mereka. Buat masa ini Mushi dan Ohaiyo masing-masing memainkan peranan sebagai 'Carry' dan 'Offlane'.

"Febby (MVP Phoenix) akan bermain sebagai sokongan manakala pemain veteran tempatan, Yamateh turut memegang peranan sama.

"Pemain ranking tertinggi dari Indonesia, Muhammad Rizky pula adalah pilihan terbaik kami untuk bermain sebagai pemain tengah. Saya berharap kemasukan ahli baru ini mampu meningkatkan lagi prestasi pasukan," katanya.

Ketika ditanya mengenai kandungan terbaru 7.00 Dota 2, Khor menyifatkan perubahan berskala besar itu mampu memantapkan lagi prestasi pasukan.

"Tidak semua suka dengan perubahan ini namun bagi Fnatic, ia satu peluang untuk kami kembangkan potensi setiap pemain.

"Perubahan ini berkuat kuasa tidak sampai sebulan jadi kesemua pasukan bertanding masih dalam fasa awal untuk menyesuaikan diri. Kami yakin dapat berikan persembahan terbaik kali ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan WG Unity, Beh Kok Weng, 34, sangat berpuas hati dengan pencapaian pasukan itu di Boston Major dan berharap kejayaan itu diteruskan dalam kejohanan ESL One.

"Kami bermula dari bawah dan ada yang tidak kenal pun siapa kami. Tapi itu tak mematahkan semangat malah kami cuba buktikan kebolehan bermain di peringkat antarabangsa," katanya.

Beh berkata, dia sangat berharap WG Unity dapat mara ke peringkat separuh akhir untuk kejohanan itu.

"Peringkat kumpulan agak sukar berikutan terdapat pasukan berpengalaman yang pernah berentap dalam The International sebelum ini.

"Namun, saya percaya pencapaian di Boston Major banyak mengubah mereka untuk bermain dengan lebih bersungguh-sungguh dan pastinya dapat berikan persembahan terbaik kali ini untuk harumkan nama Malaysia," katanya.

ESL One Genting adalah acara ESL pertama di Malaysia dengan kerjasama Resorts World Genting. Ia akan berlangsung pada 6 hingga 8 Januari disertai lapan pasukan Dota 2 dari seluruh dunia dengan hadiah wang tunai terkumpul AS$250,000 (RM1,121,875).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 1:31 PM