KAKI juga perlu dimanjakan dengan rendaman air garam bersama pati bunga-bungaan untuk mengekalkan kesegarannya.
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Kecantikan lazimnya dinilai daripada riasan wajah dan penampilan pakaian. Hakikatnya, kecantikan itu juga sepatutnya dilihat daripada penjagaan keseluruhan tubuh terutama kaki.

Penjagaan kaki yang betul melambangkan tahap kebersihan seseorang itu, khususnya wanita. Amat penting untuk mempunyai kaki yang bersih dan cantik kerana kaki yang sakit hanya menyukarkan pergerakan serta menjejaskan aktiviti harian.

Penjagaan kaki yang baik amat penting terutama bagi mereka yang mengalami diabetes kerana berdepan risiko jangkitan apabila cedera, luka dan sebagainya. Jika luka, lambat pula sembuhnya.

Untuk mengelakkannya, disediakan beberapa tip penjagaan kaki menggunakan bahan semula jadi yang bukan saja murah tetapi mudah dilakukan di rumah.

1. Tanda kaki kotor dan cedera

Periksa kaki secara kerap. Lihat pada kesan luka, rekahan, tanda merah, melepuh, bengkak dan sebarang perubahan warna.

Gunakan cermin kecil jika perlu untuk melihat bahagian bawah kaki. Kenal pasti masalah dan atasinya menggunakan ubat atau rawatan sesuai.

2. Kasut sesuai

Ada sesetengah kerjaya memerlukan ketahanan kaki contohnya pelayan restoran dan petugas kaunter. Pemakaian kasut yang sesuai dan selesa amat perlu bagi mengelakkan kecederaan.

Pemakaian kasut yang tidak sesuai akan membebankan dan memudaratkan kaki. Kasut yang terlalu kecil akan menyebabkan lepuh dan luka sementara kasut yang longgar akan menyukarkan pergerakan.

3. Rendaman kaki

Sesekali manjakan kaki dengan air rendaman mengandungi campuran garam mandian dan minyak pati bunga-bungaan.

Terlebih dulu gosok atau sental kaki secara lembut dengan alat penggosok khas bagi menanggalkan kulit mati dan kotoran degil.

Jika tiada pati bunga, campurkan saja air suam bersama garam kasar dan sedikit minyak bayi untuk membantu melembutkan serta menghaluskan kulit di bahagian itu.

Sebaiknya rendam kaki selama 10 ke 15 minit dan urut lembut ketika mengeringkannya.

4. Beri kaki bernafas

Masyarakat Asia sememangnya terbiasa dengan amalan membuka kasut sejurus tiba di rumah. Kaedah itu amat efektif bagi membantu kaki berehat dan bernafas selepas lama terperap di dalam kasut.

Bagi yang biasa menyarungkan selipar atau stokin selepas membuka kasut di rumah, biarkan kaki dalam keadaan semula jadi terlebih dulu antara satu ke dua jam.

5. Kuku pendek

Kuku cagu, panjang dan rosak bukan saja mencacatkan pandangan tetapi memberi kesan mudarat kepada kaki.

Untuk mengatasinya, sentiasa potong kuku dan sebaiknya jangan amalkan menyimpan kuku panjang kerana ia boleh mencederakan sisi tepi jari kaki.

6. Lembapan

Sama seperti tangan, kaki juga perlukan pelembap untuk mengelakkannya kering dan kusam.

Berbanding tangan, kaki memerlukan pelembap bertekstur mewah dan lebih pekat terutama jika ingin mengatasi masalah kulit merekah.

Sebaiknya gunakan losen yang mengandungi vitamin E dan minyak kelapa untuk mendapatkan hasil kulit kaki lembut.

Jika mengalami masalah kaki, cuba gunakan krim pelembap malam pada seluruh kaki dan pakai stokin untuk memerangkap lembapan itu.

7. Perangi kulat

Sebelum memulakan apa jua rawatan kaki, terlebih dulu pastikan ia tidak berkulat. Rawatan antikulat hadir dalam pelbagai bentuk dan produk ini membantu membasmi masalah bakteria pada kaki.

Selain itu, segera membasuh kaki dengan campuran air dan sabun apabila terkena air lopak atau bertakung.

Bersihkan juga kasut dan cuci stokin jika terkena kotoran kerana bimbang ia merebak ke kaki hingga membuatkan munculnya kulat dan jangkitan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 11:57 AM