Keadaan banjir di Rantau Panjang masih belum berubah. FOTO SYAMSI SUHAIMI.
Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


Kota Bharu: Cuaca sedikit cerah pagi ini di kebanyakan kawasan membantu banjir surut di beberapa daerah di Kelantan termasuk di Kuala Krai yang menutup semua pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Bacaan sungai utama juga semakin baik apabila hanya Sungai Golok di Rantau Panjang sahaja yang melepasi paras bahaya iaitu 10.16 meter.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir masih meningkat kepada 13,707 orang setakat 10 pagi berbanding tengah malam tadi, 12,715 orang.

Ia disebabkan penambahan ketara mangsa banjir di Pasir Mas yang kini mencecah 10,047 orang.

Portal eBanjir Kelantan turut merekodkan Tumpat sebagai daerah yang meningkat jumlah mangsa banjir dengan 2,105 orang di empat PPS.

Sementara daerah lain, Pasir Puteh dengan 603 mangsa di empat PPS, Kota Bharu 685 mangsa di lima PPS, Tanah Merah (129 mangsa-2 PPS) dan masing-masing satu PPS di Machang dan Bachok.

Jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi adalah 54 buah. Dalam pada itu jumlah sekolah dijadikan PPS menyusut kepada 38 buah berbanding lebih 40 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 10:46 AM