Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Ketua Setiausaha kementerian dan dua anak lelakinya direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung penyalahgunaaan kuasa jawatan dan kedudukan dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majisret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini sehingga 11 Januari ini.

Terdahulu, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret pada 9.40 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga diiringi pegawai SPRM dilihat menutup muka masing-masing dengan baju.

Suspek bergelar Datuk berusia 59 tahun itu ditahan di kediamannya Subang Jaya, Selangor kira-kira 8 pagi, semalam.

Sementara, kedua-dua anak lelaki suspek berusia 34 dan 29 tahun ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini, semalam ketika diambil keterangan.

Hasil pemeriksaan hampir 12 jam di rumah suspek, SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Turut dirampas 150 beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama.

SPRM turut merampas sejumlah dokumen daripada peguam suspek di pejabatnya di Puchong yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM.

Anak lelaki suspek yang turut ditahan dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 10:40 AM
Ketua setiausaha kementerian bergelar Datuk dibawa oleh anggota SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah