MAIMUNAH (tengah) ketika memberikan taklimat di PPD Pitas.
Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli

Pitas: Jumlah sekolah yang ditutup di daerah ini hari ini akibat banjir meningkat kepada 10 buah berbanding sembilan sekolah semalam.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul berkata, semua sekolah yang ditutup itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) dan dikenal pasti masih terjejas akibat banjir sejak kelmarin.

"Untuk rekod, 10 sekolah yang ditutup ini turut membabitkan seramai 2,599 murid dan 280 guru.

"Antara sekolah yang ditutup akibat banjir di Pitas adalah SK Pandan, SK Mandamai, SK Sosop, SK Pingan-Pingan, SK Pinapak, SK Nibang, SK Rokum dan terbaru SK Kusilad.

"Sekolah berkenaan ditutup disebabkan faktor insfrastruktur bangunan dinaiki air serta laluan dilimpahi banjir, manakala penutupan SK Rokum pula kerana dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir, " katanya dalam taklimat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Maimunah berkata, 168 mangsa banjir kini ditempatkan di PPS SK Rokum sementara menanti keadaan beransur pulih.

"Kita berharap semua sekolah yang terjejas ini dapat dibuka semula pada esok.

"Saya juga meminta pihak PPD Pitas untuk membuka pusat gerakan supaya dapat beroperasi selama 24 jam ketika bencana banjir ini sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 10:23 AM