ANGGOTA polis meronda di luar tembok Penjara Daerah Cotabato Utara di Kidapawan, wilayah Cotabato, Filipina, semalam. - AP
AP

Kidapawan (Filipina): Lebih 100 militan menyerang sebuah penjara di selatan Filipina sebelum Subuh semalam dan membebaskan seramai 158 banduan, kata pegawai.

Jurucakap Biro Pengurusan Penjara dan Penologi, Xavier Solda berkata, enam banduan terbunuh dalam pertempuran dengan polis serta askar yang memburu mereka dan lapan lagi berjaya ditangkap semula.

Katanya, sekumpulan lelaki bersenjata keluar dari hutan dan menyerang Penjara Daerah Cotabato Utara di Kidapawan ketika hari masih gelap.

“Dalam pengetahuan saya, ini kejadian lari dari penjara terbesar dalam sejarah biro ini,” katanya.

Pemangku Warden Penjara Daerah, Peter John Bongngat Jr memberitahu, seorang daripada 20 pengawal penjara itu terbunuh dan seorang banduan cedera dalam pertempuran di kawasan penjara berkenaan.

Menurutnya, penyerang terdiri daripada anggota militan termasuk dari penyokong Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF), kumpulan serpihan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan.

Ketua Polis Kidapawan, Leo Ajero berkata, pertempuran bersambung selama beberapa jam selepas serangan apabila askar dan polis termasuk kereta kebal memburu banduan serta militan di hutan berhampiran.

Penjara itu menempatkan 1,511 banduan termasuk anggota kumpulan militan yang dipenjara kerana terbabit dalam serangan bom di wilayah berkenaan.

Kejadian itu adalah yang ketiga di penjara di selatan Filipina sejak 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:52 AM