MANGSA dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan selanjutnya. FOTO ihsan APMM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili melakukan pelayaran ihsan menyelamatkan dua kru kapal dagang yang mengalami kecederaan ketika melakukan kerja di kapal MT MIA-S di kedudukan 13 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar, semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, pelayaran ihsan itu selepas Pusat Operasi DM 7 menerima laporan mengenai kejadian itu daripada Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Johor Bahru.

"Laporan itu memaklumkan kru kapal Dagang MT MIA-S memohon bantuan kecemasan pada 3.40 petang.

"Dua Bot Ronda Kelas Petir kemudian ditugaskan bagi urusan memindahkan mangsa yang mengalami kecederaan di posisi lebih kurang 1.2 batu nautika Selatan Tanjung Setapa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amran berkata, mangsa warga negara Filipina, Jomar B Dapilaga, 26, mengalami kecederaan di bahu manakala Carl Lan Bachinilla, 26, cedera di kaki.

Katanya, laporan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa melakukan kerja-kerja senggaraan dalam kapal.

Katanya, bot selamat tiba di Jeti Marina Tanjung Pengelih pada 9.45 malam dan seterusnya mangsa dibawa oleh pihak ambulans ke Klinik Pengerang untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan selanjutnya.

APMM Daerah Maritim Tanjung Sedili katanya, sentiasa bersedia dalam usaha memberikan bantuan kecemasan di laut walau dalam apa jua keadaan.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut ditalian 24 jam MERS 999 dan

Pusat Operasi Maritim Tanjung Sedili di talian 07-8916595.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 12:06 PM