PENDUDUK menaiki jentera pengorek meredah banjir selepas hujan lebat sejak awal pagi tadi di persimpangan utama Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Muhamaad Razis Ismail dan Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu meningkat kepada 20,750 orang sehingga 9 pagi ini berbanding 14,175 orang, 12 tengah malam tadi.

Terengganu mencatatkan 11,860 mangsa banjir pada 9 pagi berbanding 6,642 orang pada 12 tengah malam tadi.

Jumlah pusat pemindahan yang dibuka turut bertambah kepada 140 buah berbanding 93, malam tadi.

Menurut etindakan.terengganu.gov.my, daerah Besut mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,338 orang daripada 1,178 keluarga di 51 pusat pemindahan.

Hulu Terengganu pula mencatatkan seramai 3,660 daripada 1,122 keluarga dipindahkan ke 35 pusat pemindahan.

Selain itu, sebanyak 27 pusat pemindahan di Setiu yang menempatkan 2,706 mangsa daripada 863 keluarga.


KEADAAN banjir di sekitar pekan Rantau Panjang yang masih ditenggelami air di kawasan rendah akibat limpahan Sungai Golok. FOTO Fathil Asri

Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 8,890 orang berbanding 7,533 orang, 12 tengah malam tadi.

Portal eBanjir Kelantan merekodkan semua mangsa banjir di sembilan daerah ini ditempatkan di 81 PPS.

Daerah Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,545 mangsa membabitkan 281 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS diikuti Kuala Krai seramai 1,491 ditempatkan di 11 PPS.

Lain-lain daerah adalah Machang mencatatkan seramai 1,100 mangsa, Kota Bharu (724), Tanah Merah (638), Pasir Puteh( 217), Bachok (107), Tumpat (45) dan Jeli (23).

Bacaan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Kusial, Tanah Merah merekodkan sedikit penurunan namun masih melepasi paras bahaya iaitu 17.56 meter (m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.39m).

Dalam pada itu, 32 laluan ditutup masing-masing empat di Kuala Krai, Machang (5) Pasir Mas (22), Pasir Puteh (3), Tumpat (1) dan Tanah Merah (1).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 10:10 AM