GAMBAR fail menunjukkan pasukan penyelamat mencari mayat mangsa di dalam feri malang itu. - Agensi

Jakarta: Kapten feri pelancong yang terbakar pada hari Tahun Baru lalu semalam ditangkap atas tuduhan cuai dalam kejadian yang menyebabkan 40 orang mati atau hilang.

Feri Ekspres Zahro membawa sekurang-kurangnya 247 orang, kebanyakannya warga tempatan dari pelabuhan Muara Angke di utara Jakarta ke pulau peranginan Tidung apabila ia terbakar Ahad lalu.

Seramai 224 penumpang berjaya diselamatkan dan 23 mayat ditemui. Tujuh belas mangsa masih hilang.

Kapten itu, Mohamad Nali ditahan untuk disoal siasat berikutan kejadian itu dan ditangkap semalam, kata Ketua Polis Maritim Jakarta, Kolonel Hero Hendrianto Bachtiar.

Dia berdepan tuduhan belayar walaupun mengetahui jumlah penumpang jauh melebihi 100 orang, bilangan yang dibenarkan dibawa feri berkenaan.

Mohamad, 51, berdepan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.

Ketua pelabuhan Muara Angke pula dilucutkan jawatannya kerana didakwa cuai dalam mengawasi pelayaran feri itu.

Usaha mencari mangsa yang hilang diteruskan semalam tetapi pegawai tidak menolak kemungkinan mereka yang hilang itu adalah antara 20 mayat yang ditemui rentung dalam feri itu.

Punca kebakaran masih tidak jelas. Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, ia mungkin disebabkan litar pintas di dalam bilik enjin. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:34 AM