SME Corp pastikan pemain PKS nikmati persekitaran perniagaan baik.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia) optimis kadar sumbangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini terus berkembang antara satu hingga dua peratus, sekali gus membantu mencapai sumbangan lebih RM800 bilion atau 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Agensi itu turut melihat sektor PKS tempatan mampu berkembang antara 37.3 peratus hingga 37.5 peratus pada 2016 yang memperlihatkan sektor itu mampan walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, terdapat pelbagai isu ekonomi sepanjang 2016 antaranya Brexit, penguncupan nilai ringgit dan kerisauan pemain industri terhadap pelantikan Presiden Amerika Syarikat, namun ia tidak memberi kesan yang buruk kepada perkembangan PKS tempatan.

Beliau berkata, kerajaan bersama SME Corp sentiasa memantau pertumbuhan PKS tempatan bagi memastikan kesan ekonomi semasa tidak membantutkan sumbangan PKS kepada KDNK dari tahun ke tahun.

“Antara perkara yang kita lakukan adalah memastikan PKS dapat menikmati persekitaran perniagaan yang baik antaranya kerajaan mengumumkan pengecualian cukai korporat kepada mereka yang dapat memacu pertumbuhan perniagaan dalam keadaan yang mencabar.

“Pada masa sama, kita juga terus memastikan syarikat pemula dapat terus bertahan, kompetitif dan berkembang maju walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam persekitaran perniagaan semasa,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Dalam tempoh 2011 hingga 2015, PKS berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 6.7 peratus berbanding pertumbuhan purata ekonomi keseluruhan sebanyak 5.3 peratus. Hasilnya, sumbangan PKS kepada KDNK meningkat sebanyak 4.1 mata peratusan kepada 36.3 peratus dalam tempoh lima tahun, disokong oleh prestasi PKS merentasi semua sektor ekonomi.

Malah, Prospek PKS adalah untuk mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.0 hingga 5.5 peratus pada 2016 sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjurkan antara 4.0 hingga 4.5 peratus.

Hafsah berkata, pada tahun ini pihaknya terus menumpukan kepada mempromosikan PKS tempatan dan menjadi tahun syarikat pemula bagi memastikan sektor perniagaan keseluruhan domestik dapat terus berkembang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 7:23 AM